05/03/2025:
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan (legal avenue) berikutan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara ditolak, sebelum kerusinya bakal dikosongkan secara automatik.
Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lalu.
Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, semalam menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata tempoh hukuman terbabit berkuat kuasa bermula semalam susulan penolakan rayuan Peter bagi kes berkaitan pemalsuan dokumen oleh Mahkamah Rayuan.
Semalam, dilaporkan Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lalu.
Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, Kadzim berkata, pihaknya sudah mengambil maklum mengenainya.
“Saya mengambil maklum bahawa rayuan kes jenayah bagi Datuk Peter Anthony, ADUN Melalap telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac 2025 (semalam). Dalam hal ini, perintah sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan Mahkamah Rayuan.
“Mengikut Perkara 17(1) (e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan yang disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Namun peruntukan tersebut hendaklah dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain mengikut Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan.
“Oleh demikian, status Datuk Peter Anthony sebagai Ahli Dewan Undangan bagi kawasan N.35 Melalap akan diputuskan setelah semua peruntukan undang-undang berkaitan dengan perkara tersebut telah dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di bangunan DUN Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya media jika Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan selepas kerusi DUN Melalap dikosongkan.
Bagaimanapun, Kadzim menyatakan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian sebaliknya pengisian calon bagi DUN Melalap boleh dilakukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001