05/03/2025:
HAMILTON, KANADA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekankan ‘impak dahsyat’ dan malapetaka kemanusiaan yang semakin teruk di Semenanjung Gaza susulan penutupan berterusan tiga lintasan sempadan dan sekatan terhadap kemasukan bantuan menyelamatkan nyawa yang dikenakan Israel yang kini memasuki hari ketiga.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakapnya, Stephane Dujarric pada sidang akhbar, berkata lintasan Kerem Shalom, Zikim dan Erez kekal ditutup untuk kargo bagi hari ketiga berturut-turut.
“OCHA memaklumkan, pihak berkuasa Israel menolak percubaan kami untuk mengumpul bekalan kemanusiaan bagi melintasi Kerem Shalom sebelum penutupannya,” katanya.
Beliau menekankan, adalah kritikal untuk negara anggota dan mereka yang mempunyai pengaruh menggunakan semua cara yang ada bagi memastikan gencatan senjata berlaku.
“Keadaan ini akan mengakibatkan perkara buruk bagi penduduk yang sedang dalam fasa pemulihan selepas berbulan-bulan hidup dalam serba kekurangan dan kebuluran,” katanya.
Mengenai Tebing Barat yang diduduki, Dujarric berkata, operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin diteruskan dan meluas ke bahagian timur bandar Jenin, mengakibatkan lebih banyak kematian, kemusnahan dan perpindahan.
Katanya, perintah pemindahan dikeluarkan Israel di Jenin menyebabkan 30 keluarga terpaksa keluar dari bandar itu termasuk sekurang-kurangnya tiga keluarga yang dipindahkan sebelum ini.
“Semasa operasi, tentera Israel menggunakan jentolak, merosakkan infrastruktur dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. Sekatan akses dan pergerakan ke bandar dan dari bandar turut ditingkatkan,” katanya.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, tentera Israel melakukan serbuan berkala di Tebing Barat yang diduduki dan ia dilaporkan semakin meningkat sejak serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023.
Rakyat Palestin turut diserang secara ganas oleh peneroka haram Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 928 rakyat Palestin terbunuh, manakala lebih 7,000 cedera akibat serangan tentera Israel di wilayah yang diduduki.
Pada Julai, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel selama berdekad-dekad ke atas tanah Palestin sebagai haram dan menuntut pemindahan semua penempatan sedia ada di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001