Nasib penyanyi lagu ‘Bae Sobar Bae’, suami dan 4 yang lain ditentukan esok

05/03/2025:

KOTA BHARU – Nasib penyanyi dikir barat moden Kelantan, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau dikenali sebagai Eda Ezrin, suami serta empat rakannya akan ditentukan di Mahkamah Wilayah Narathiwat, esok.

Ia membabitkan dua pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di pekan Sungai Golok pada 1 November tahun lalu.

Berita Harian melaporkan, dua daripada mereka berdepan tiga pertuduhan termasuk memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah.

Mahkamah Wilayah Narathiwat sebelum ini menetapkan 6 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Wan Norshaheeda, 30 dan lima yang lain.

Panel dua hakim membuat keputusan itu pada hari terakhir perbicaraan selama tiga hari bermula 11 Februari lalu.

Tarikh itu ditetapkan selepas hakim selesai mendengar keterangan daripada penyanyi itu dan lima yang lain.

Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sejumlah pil berkenaan.

Bagaimanapun, mereka mengaku salah mengambil dadah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham pada 14 Januari lalu.

Semua mereka diwakili tiga peguam termasuk seorang yang disediakan kerajaan Thailand.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *