Mayat Hud Aryan ditemui tersangkut pokok di muara sungai

Mayat Hud Aryan ditemui tersangkut pokok di muara sungai

26/02/2025:

TANAH MERAH – Misteri kehilangan kanak-kanak berusia 19 bulan yang dilaporkan hilang dua hari lalu berakhir dengan penemuan mayatnya yang tersangkut pada pokok di tebing muara sungai di Kampung Kerila, dekat sini pada jam 4.20 petang ini.

Pencarian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi bermula sejak malam kelmarin, ketika hujan lebat melanda daerah itu yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Mayat itu ditemui kira-kira tiga kilometer dari rumahnya, yang sebelum itu dilaporkan oleh kedua ibu bapanya kepada polis berhubung kehilangan anak tunggal itu.

Difahamkan, lokasi penemuan mayat itu sudah beberapa kali dilalui sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR), tetapi gagal dikesan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat.

“Mayat ditemui pasukan penyelamat dianggotai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan orang awam.

“Ketika kejadian, paras air sungai tinggi dan hari ini air sudah surut mendorong kepada penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian00.

Suasana di rumah keluarga mangsa diselubungi kesedihan apabila kedua-dua ibu bapa Hud Aryan menerima berita penemuan mayat anaknya itu.

Ibu mangsa, Azean Nur Atikah Ramley, 34, tidak mampu menahan sebak dan meraung sebelum ditenangkan ahli keluarga lain.

Terdahulu, media melaporkan operasi SAR yang bermula pagi ini menggunakan dua anjing pengesan dari Unit K9.

Pada masa sama, operasi yang memasuki hari ketiga turut dibantu penduduk kampung.

Hud Aryan dilaporkan hilang dari rumah keluarganya dekat Kampung Aira Kuala Tiga di sini, selepas disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam oleh ahli keluarga.

Sebelum itu, Hud Aryan berada dalam rumah kerana diberi makan oleh ibunya sebelum wanita terbabit masuk ke dapur selepas selesai menyuap nasi kepada kanak-kanak terbabit.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *