'Saya tidak akan jadi Duta Besar Malaysia ke AS' - Tengku Zafrul

‘Saya tidak akan jadi Duta Besar Malaysia ke AS’ – Tengku Zafrul

17/02/2025:

KUALA LUMPUR – “Saya tidak akan menjadi Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat (AS),” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, secara serius, beliau menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk memilih individu yang akan menggalas jawatan berkenaan yang kosong selepas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menamatkan perkhidmatannya selama dua tahun di Washington.

“Sebagai Menteri MITI, kementerian sedia memberi sokongan kepada sesiapa pun yang akan menjawat jawatan Duta Besar Malaysia ke AS.

“Kita perlukan seseorang yang berada di lapangan,” katanya selepas majlis Persidangan China Asia Tenggara 2025 di sini, hari ini sebagaimana lapor BHNews.

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mencadangkan lima nama untuk dipertimbang sebagai Duta Malaysia ke AS bagi menggantikan Mohamed Nazri termasuk Nurul Izzah Anwar dan Tengku Zafrul.

Calon lain ialah bekas pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.

Kian Ming dilaporkan berkata, Faiz banyak memberi input penting kepada perdana menteri mengenai dasar luar, manakala Nurul Izzah adalah pembantu utama dan Tengku Zafrul pula membuktikan dirinya sebagai menteri yang dipercayai Anwar.

Nazir dikenali sebagai tokoh korporat berpengaruh, manakala Yusmadi adalah ahli lama dalam ‘kumpulan kecil individu dipercayai’ Anwar.

Pada 8 Februari lalu, Mohamed Nazri mengesahkan tempoh perkhidmatannya selama dua tahun sudah berakhir dan menyatakan pelantikannya adalah secara politik dan bukan diplomat kerjaya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sudah memuktamadkan nama bagi mengisi kekosongan jawatan Duta Malaysia ke AS yang baharu.

Perdana Menteri berkata, proses seterusnya ialah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Anwar tidak menolak calon itu akan diperkenan sebaik kembali dari lawatan rasmi ke Bahrain.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *