MCA Jangan Politikkan Larangan Penjualan Arak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)

Syor Trump Ambil Alih Gaza Tidak Masuk Akal, Bercanggah Keadilan Sejagat – Dr. Mujahid

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) kesal dan kecewa dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu mengambil alih pentadbiran Gaza dan memindahkan penduduknya ke negara-negara seperti Jordan dan Mesir.

Kenyataan Trump ketika sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington baru-baru ini, amat tidak bertanggungjawab, di luar norma diplomasi antarabangsa, melanggar kedaulatan sebuah negara yang sah dan merdeka, tegas Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Beliau berkata, saranan Trump itu tidak langsung mengambil kira sensitiviti, penderitaan dan jerit payah rakyat Gaza yang telah berkorban darah dan air mata demi mempertahankan tanah air daripada terus dijarah serta ditakluki regim zionis Israel.

“Saya percaya majoriti negara-negara di seluruh dunia mengutuk tindakan tidak bermoral Presiden Trump tersebut seperti yang telah disuarakan kerajaan China yang terang-terangan menolak cadangan Presiden Trump.

“Syor Trump tersebut bukanlah formula penyelesaian konkrit, praktikal, dan tuntas ke arah keamanan berkekalan di bumi Palestin dan Asia Barat yang bergelora.

“Amanah percaya jalan penyelesaian terbaik ialah mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan Palestin yang merdeka dan berdaulat, menghormati hak-hak sivil serta pemerintahan demokratik rakyat Gaza dan Palestin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Mujahid turut mempersoalkan berdasarkan kenyataan Trump itu, layakkah lagi Amerika Syarikat digelar juara perjuangan demokrasi dan hak asasi manusia?

Katanya, di manakah janji-janji manis Trump ketika berkempen pilihanraya Presiden baru-baru ini di hadapan pemimpin dan komuniti Islam AS untuk mencari penyelesaian damai konflik Israel-Gaza.

“Trump mesti menghentikan cadangan tidak masuk akal ini, kembali menghormati hak-hak kedaulatan sesebuah negara, menghentikan sebarang keputusan unilateral dan menyerahkan urusan pentadbiran Gaza kepada rakyat mereka sendiri.

“Rakyat Gaza dan Palestin berhak untuk hidup aman, bebas, merdeka, berdaulat dan menikmati kemakmuran tanpa campur tangan kuasa-kuasa asing.

“Apa yang lebih penting, kekejaman dan penindasan regim zionis mesti segera ditamatkan. AS selaku sekutu rapat Israel bertanggungjawab menyegerakan inisiatif ini atas nama demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia,” ujar beliau. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *