Razman Fitnah Kerajaan Perak Dengan Isu Perkauman

KUALA LUMPUR – Tindakan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengeluarkan beberapa kenyataan berbau fitnah, berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negeri itu.

Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol menjadikan isu kerajaan perpaduan Perak yang telah dibentuk sejak tiga tahun lalu sebagai bahan ucapan kebencian.

Katanya, dalam ucapan itu, beliau melabelkan kerajaan perpaduan hari ini dikuasai “bangsa DAP” yang kononnya membuat keputusan merugikan umat Islam dan orang Melayu.

“Razman sedia maklum kerajaan perpaduan dibentuk atas persefahaman politik antara BN dan PH berdasarkan persetujuan masing-masing untuk menstabilkan keadaan setelah semua blok parti gagal mendapat majoriti mudah.

“Persefahaman BN-PH adalah atas syarat utama, iaitu untuk menjaga Islam dan kebebasan beragama bagi yang bukan Islam serta menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Asas ini menyatukan semua komponen kerajaan perpaduan di Perak. Jadi, tidak timbul soal Islam dan Melayu dipinggirkan, malah ia menjadi komitmen semua komponen dalam blok perpaduan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mujahid, soal pembahagian kuasa tertakluk pada persetujuan yang beliau selaku Pengerusi PH menandatanganinya bersama Datuk Seri Muhammad Saarani selaku Pengerusi BN Perak.

Jelas beliau, antara lainnya Menteri Besar dan Speaker dari UMNO, manakala pembahagian Exco mengikut format yang dipersetujui berpandukan kerusi dimenangi.

“Akhirnya DAP diperuntukkan empat kerusi, PKR dua kerusi dan Amanah satu kerusi, manakala BN mendapat tiga kerusi. Tidak timbul soal perkauman di sini, tetapi atas persefahaman untuk menstabilkan politik dan pentadbiran serta memelihara kepentingan rakyat Perak.

“Lebih penting kerajaan perpaduan direstui Paduka Tuanku Sultan Perak setelah saya dan Saarani menandatangani perjanjian, petangnya upacara angkat sumpah Menteri Besar berlangsung, manakala esoknya majlis mengangkat sumpah Exco yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

“Perjanjian ini tiada kena mengena dengan memberi ruang kepada “bangsa DAP”, tetapi perjanjian berprinsip dan berpandukan semangat perlembagaan negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kenyataan Razman telah mendustakan penyokong Pas dan pengundinya mengenai penjualan arak terbuka seolah kerajaan hari ini merelakannya.

Walhal, jelas beliau, Menteri Besar menegaskan supaya kajian lanjut dibuat mengenai kesan jualan arak terbuka di premis majlis daerah tempatan masing-masing khususnya di bawah seliaan MBI.

“Di mana keputusan jualan arak terbuka ditentukan oleh DAP?

“Saya sarankan kepada pengikut dan pengundi Pas jangan termakan fitnah keji ini kerana Razman hanya menggunakan sentimen jahat perkauman dan agama untuk mengaut laba politik dengan menipu pengundi serta pengikut Pas.

“Rekod Razman berbohong dan kemudian meminta maaf adalah satu testimoni apa yang saya nyatakan di sini. Rugilah pengundi Pas di Perak mendokong pembohongan, penipuan dan fitnah sehingga menggugat kestabilan yang dibina selama ini untuk kebajikan dan kesejahteraan orang Perak,” katanya.

Kata Dr. Mujahid lagi, ADUN Pas itu pula tidak berfungsi membela atau mengkritik dasar-dasar yang membangunkan rakyat Perak, melainkan bermain politik persepsi perkauman agama dan kaum serta mendokong fitnah kepimpinan Pas.

“Umat Islam di Perak memilih kestabilan, kemakmuran dan menolak fitnah, kebencian yang dibawa Pas.

“Selaku Pengerusi PH, saya menyeru rakyat Perak menolak kerusi-kerusi Pas yang dimenanginya dan memberikan peluang kepada calon Melayu PH dan BN untuk mengukuhkan lagi kestabilan yang dinikmati,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *