'Israel penyangak, bangsa suka berperang', Tun M ragui gencatan senjata Gaza

‘Israel penyangak, bangsa suka berperang’, Tun M ragui gencatan senjata Gaza

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad meragui keberkesanan perjanjian gencatan senjata di Gaza susulan Israel sebelum ini melanggar perjanjian Hizbullah.

Bekas Perdana Menteri juga menyuarakan kebimbangan terhadap gencatan senjata bermula esok yang dipersetujui Israel dan Hamas sambil menyifatkannya belum mampu menjamin masa depan Palestin.

“Saya ragu-ragu dengan perjanjian gencatan senjata Gaza. Mungkin saya dianggap pesimis, tetapi adakah sesiapa percaya negara yang berulang kali melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengabaikan dan tidak menghormati pandangan dunia akan menunaikan janji,” katanya dipetik Berita Harian dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula esok untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, dilaporkan berkata perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pada sidang media di Doha, Sheikh Mohammed, berkata fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.

Menurut Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi, Israel sangat dikenali tidak menepati janji serta bangsa yang sangat suka berperang.

“Ada sesiapa percaya Israel, yang telah melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah sebelum ini, akan memilih mematuhinya kali ini?

“Israel adalah penyangak, bangsa yang suka berperang. Kecenderungannya untuk bertelagah tidak akan membuatkannya menghormati sebarang perjanjian atau undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mempersoalkan gencatan senjata kali ini akan berbeza berikutan dalam tempoh beberapa hari lalu selepas persetujuan dimuktamadkan, rejim Zionis bermati-matian membunuh penduduk Palestin.

“Berhari-hari sebelum gencatan senjata (bermula) esok, mereka tetap memburukkan keadaan, membunuh seramai yang mungkin rakyat Palestin.

“Ia menjadi budaya mereka untuk melakukan pembunuhan membabi-buta. Dan mereka akan menyalahkan orang lain di atas tindakan itu,” katanya.

“Maafkan sikap pesimisme saya, kegembiraan yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza terlalu awal. Saya berharap tafsiran saya salah,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *