KUALA LUMPUR – Tiga pelajar Malaysia di University of California, Los Angeles (UCLA), sudah dipindahkan ke tempat selamat susulan kebakaran besar di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), yang kini dilaporkan semakin merebak.
Dalam maklum balas ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada wartawan, lewat malam tadi, Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kebakaran Pacific Palisades dijangka merebak kerana angin kencang diramalkan melanda hingga Rabu.
“Tiga pelajar Malaysia yang tinggal di luar kampus UCLA sudah menerima amaran pemindahan dan kini ditempatkan dengan selamat di salah sebuah kediaman kakitangan kedutaan (Home Based Staff/HBS) bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka,” katanya.
Mohamed Nazri berkata, menurut laporan terkini Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, jika keadaan semakin buruk maka lebih ramai pelajar berkemungkinan akan dipindahkan.
Beliau berkata, misi diplomatik Malaysia sudah bersiap sedia dengan pelbagai langkah, termasuk menyediakan beberapa lagi kediaman HBS untuk menampung pemindahan.
“Menurut laporan yang saya terima, perkembangan situasi akan terus dipantau dengan teliti dan menyediakan kemas kini harian jika diperlukan,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan 14 penuntut Malaysia terkesan dengan insiden kebakaran di Los Angeles itu.
Jabatan Pendidikan Tinggi KPT dalam satu kenyataan, petang semalam, berkata semua pelajar terbabit adalah penuntut di UCLA dan sudah diberi bantuan serta rangka pelan evakuasi jika diperlukan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001