BERITA UTAMA
Lelaki Nepal ditahan tikam rakan bertengkar soal kriket

Lelaki Nepal ditahan tikam rakan bertengkar soal kriket

JASIN – Angkara perselisihan faham berhubung sokongan terhadap pasukan Kriket, seorang lelaki Nepal tergamak menikam rakan senegara yang sedang tidur dengan sebilah pisau hingga parah, pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 5.10 pagi kelmarin berhubung pergaduhan dua lelaki Nepal di asrama milik sebuah kilang di Kampung Pondok Kempas, di sini.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham serta rasa tidak puas hati berkenaan sokongan terhadap perlawanan membabitkan pasukan kriket Nepal sehingga membawa kepada pergelutan antara mereka.

“Pergelutan itu sudah dileraikan oleh rakan seasrama yang turut berada di lokasi kejadian, namun, suspek berusia 23 tahun itu bertindak menikam dengan pisau sewaktu mangsa tidur.

“Mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai operator pengredan telur di sebuah kilang di kampung itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan serta dada dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Jasin,” katanya dalam kenyataan.

Md Nazri berkata, hasil siasatan lanjut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berjaya menahan suspek di belakang asrama pekerja terbabit kira-kira jam 8 pagi, semalam.

“Suspek yang sudah empat tahun berada di Malaysia dan bekerja sebagai pemandu lori turut cedera di bahagian badan, muka, mulut, tangan dan kaki.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati saspek bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan cedera parah.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *