KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Pas sebagai pembohong apabila menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyembunyikan adendum berhubung penahanan Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, hujah pihak kerajaan adalah adendum itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan oleh itu ianya tidak wujud.
“Oleh itu, dakwaan Pas bahawa Perdana Menteri menyembunyikan adendum adalah satu pembohongan dari parti itu.
“Justeru, pada 6 Januari lalu, berduyun-duyun pemimpin dan penyokong Pas berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya berhubung isu adendum tahanan rumah untuk mantan Najib.
“Pengampunan seseorang pesalah jenayah adalah di bawah kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Maka, kuasa pengampunan ini adalah suatu kuasa sah dan oleh itu hukuman terhadap Najib yang dikurangkan tidak dipertikaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, jelas Faiz, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tahun 2023 pernah mempertikaikan kuasa pengampunan Lembaga Pengampunan bahawa ianya tidak selari dengan Islam.
“Kini, dalam isu pengampunan terhadap Najib, dalil haram itu tidak lagi terpakai. Fatwa Pas berubah mengikut nafsu politik mereka. Maka, Pas berbohong lagi, tetapi lebih teruk berbohong atas nama agama,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001