LONDON – Cristiano Ronaldo dilaporkan menyarankan kelab Al-Nassr untuk mendapatkan Casemiro dari Manchester United sekali gus menjadikan perkara berkenaan sebagai faktor kritikal mengenai masa depannya.
Kontrak ikon Portugal bernilai 175 juta pound (RM980.62 juta) setahun itu kini hanya berbaki enam bulan lagi dan Ronaldo dikatakan sedang mempertimbangkan untuk melangkah keluar dari kelab yang beraksi di Liga Pro Saudi itu.
Ronaldo dan Casemiro memenangi 12 trofi bersama di Real Madrid termasuk empat gelaran Liga Juara-Juara dan dua piala La Liga dengan mereka berdua kembali digandingkan di Manchester United di bawah pengendali Erik ten Hag.
Kedua-duanya mempunyai ikatan persabahatan yang rapat dan perpindahan itu tampak berkemungkinan mampu direalisasikan dengan mengambilkira United terbuka untuk menjual pemain dari Brazil berkenaan.
Namun satu laporan akhbar antarabangsa minggu lalu melaporkan yang kelab Saudi Al-Qadsiah dan Al-Ittihad turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 32 tahun berkenaan.
Malah, terdapat laporan yang perpindahan ke MLS dilihat sebagai pilihan berpotensi buat Ronaldo yang kini berusia 39 tahun. Beraksi di Amerika dilihat turut menjadi pilihan buat beberapa pemain terkemuka dunia termasuk Pele dan Lionel Messi.
Bekas rakan sepasukan Ronaldo di Old Trafford, Wes Brown turut menggesa penyerang berkenaan untuk mengambil langkah tepat.
“Cristiano Ronaldo perlu ke Amerika, terutama dengan adanya Liones Messi di sana,” katanya. “Saya sudah melihat permainan Ronaldo beberapa kali dan ia berada di standard yang baik, dia meledak gol dan tampak cergas untuk seseorang di usianya, masih bertenaga biarpun hampir 40 tahun.
“Dia mahu bermain selagi dirinya termampu… dia boleh dan dia seorang pemain yang boleh ‘memetik jari’ untuk memilih di mana dia akan bermain seterusnya.
“Dia tidak akan menggantung butnya dalam tempoh terdekat ini dan akan terus memecahkan rekod. Dia sudah berada di beberapa tempat pada masa ini dan saya suka untuk melihat dia meletakkan Amerika dalam senarainya.
“Dia sudah meledak lebih gol berbanding Messi dan adalah sesuatu yang hebat untuk melihat mereka kembali bersaing semula.” – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001