Tahanan rumah Najib: Tak akan berlaku dalam masa terdekat - Peguam

Tahanan rumah Najib: Tak akan berlaku dalam masa terdekat – Peguam

Laporan Berita Harian

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dan keputusan mahkamah untuk membenarkan Datuk Seri Najib Razak ditahan di rumah tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Peguam Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, ketika ini untuk membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani perintah tahanan di rumah, Najib perlu memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus.

“Atas keputusan menolak kebenaran itu, Najib merayu ke Mahkamah Rayuan (semalam) untuk mengetepikan penolakan berkenaan. Sebelum tarikh pendengaran rayuan berkenaan, anaknya, Nizar memfailkan afidavit yang didakwa adalah Adendum dari Istana Pahang.

“Pihak responden yang diwakili oleh kamar Peguam Negara, memohon membuat pengesahan kepada kandungan afidavit berkenaan, yang mana perkara itu kemudian dibenarkan,” katanya.

Susulan kebenaran diberikan oleh Mahkamah Rayuan semalam, keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan Najib boleh meneruskan tindakan untuk memfailkan semakan kehakiman.

Shamsuddin turut menjelaskan bahawa untuk semakan kehakiman diteruskan, ia perlu mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu dan melepasi ambang yang ditetapkan.

“Paling tidak, semakan kehakiman yang dibawa perlu mempunyai merit dan/atau bukti yang cukup kuat.

“Semakan kehakiman juga mesti disokong oleh afidavit oleh pemohon iaitu Najib dan saksi lain, jika ada,” katanya.

Sebelum ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut memfailkan afidavit sokongan.

“Mahkamah bagaimanapun memutuskan bahawa afidavit sokongan Ahmad Zahid dan Wan Rosdy tiada bukti kukuh tentang Addendum itu. Kalau ada pun, ia hanyalah dengar cakap dan bukan bukti yang kukuh,” katanya.

Najib dapat kebenaran semakan kehakiman paksa kerajaan dedah titah adendum

Dalam prosiding semalam Mahkamah Rayuan dalam penghakiman majoriti 2-1, Najib mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Mohd Firuz yang membacakan penghakiman panel, berkata mahkamah membenarkan rayuan Najib kerana berpendapat, ia tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti tambahan yang dikemukakan oleh perayu.

Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.

Ia turut menetapkan pada 13 Januari ini bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

Mohd Firuz berkata, bukti tambahan yang dipohon Najib tidak dikemukakan di mahkamah apabila pihak perayu mula-mula memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tahun lalu.

“Ketekunan wajar dan munasabah mesti dilaksanakan untuk memastikan bukti yang dipersoalkan itu akan mempengaruhi keputusan kes (semakan) ini.

“Prinsip ini terpakai kepada semua orang, tanpa mengira kedudukan, bangsa, atau agama.

“Ia adalah kes perayu bahawa mereka tidak boleh mendapatkan titah adendum berkenaan bagi tujuan permohonan semakan kehakiman mereka,” katanya.

Mohd Firuz berkata, Najib telah menulis surat kepada enam responden untuk mengesahkan kewujudan adendum itu tetapi tidak pernah menerima jawapan, oleh itu beliau memohon perkenan Sultan Pahang untuk menggunakan dokumen berkenaan dalam permohonan semakan kehakimannya.

“Bagaimanapun, surat ini tidak pernah dibalas oleh enam responden.

“Walaupun menerima layanan dingin oleh responden, pemohon terus berusaha untuk mendapatkan bukti kewujudan titah adendum daripada pelbagai sumber, termasuk afidavit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang.

“Selepas penghakiman, pemohon memperoleh salinan titah adendum, tetapi pejabat Sultan Pahang pada 17 Ogos 2024 dengan tegas mengarahkan supaya dokumen itu tidak digunakan tanpa izin baginda.

“Pemohon kemudian memohon kebenaran daripada baginda untuk menggunakan adendum itu dalam afidavitnya bagi tujuan rayuan, dan selepas mendapat kebenaran daripada baginda pada 2 Disember 2024, pemohon kemudian memfailkan adendum itu ke mahkamah,” katanya.

Mohd Firuz berkata, dengan ketiadaan kebenaran, adalah mustahil bagi pemohon untuk memfailkan titah adendum itu ke mahkamah dan beliau juga tidak boleh memaksa Sultan Pahang untuk memberikan titah berkenaan.

Hakim berkata, hakikat bahawa tiada bukti sanggahan daripada responden mencabar kewujudan atau mengesahkan, titah adendum terbabit tidak boleh dipertikaikan lagi.

Najib fail pengampunan pada September 2022

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Kronologi pengampunan Najib

23 Ogos 2022: Rayuan Najib berkaitan kes SRC ditolak Mahkamah Persekutuan

1 September 2022: Najib memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16 melalui Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)

18 Oktober 2022: Najib memfailkan adendum kepada permohonan pengampunan, memasukkan fakta dalam buku Tommy Thomas mengenai polemik pelantikan hakim dibuat tanpa mengikut undang-undang

20 April 2023: Najib memfailkan dokumen tambahan kedua kepada Ketua Pengarah BHEUU

4 Disember 2023: Najib menghantar surat peringatan mengenai permohonan pengampunan kepada Ketua Pengarah BHEUU

8 Disember 2023: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bersidang untuk kali pertama dengan tiada keputusan dimuktamadkan

29 Januari 2024: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bersidang sekali lagi dengan keputusan diumumkan pada 2 Februari 2024

29 Januari 2024: Yang di-Pertuan Agong Ke-16 membuat pengumuman mengenai perintah pertama dalam pengampunan kepada Najib

12 Februari 2024: Najib dimaklumkan mengenai Titah Adendum melalui saluran boleh dipercayai

1 April 2024: Semakan kehakiman mengenai Titah Adendum difailkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

3 Julai 2024: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman difailkan Najib

6 Januari 2025: Prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Mahkamah Rayuan dekat Putrajaya

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *