Program Baucar Buku Pelajar IPT Fasa 2: Inisiatif Digital Berjaya Tingkat Capaian Pendidikan Penuntut IPT

Program Baucar Buku Pelajar IPT Fasa 2: Inisiatif Digital Berjaya Tingkat Capaian Pendidikan Penuntut IPT

KUALA LUMPUR – Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 bernilai RM100 untuk penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mendapat sambutan luar biasa daripada mahasiswa di seluruh negara.

Program itu yang dilancarkan pada 29 Oktober lalu oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir bertujuan untuk menyokong keperluan akademik penuntut IPT dengan memberikan akses lebih mudah kepada bahan bacaan yang berkualiti.

Sambutan menggalakkan ini jelas menunjukkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan.

Penebusan baucar melalui platform rasmi MySiswaPlace adalah selari dengan visi Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyediakan pusat sehenti digital bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan.

Bahkan, program ini bukan hanya mempermudah pembelajaran mahasiswa, tetapi juga memperkukuh ekosistem pendidikan di seluruh negara.

Platform ini telah mencatatkan peningkatan trafik luar biasa sejak pelancarannya yang mencerminkan sambutan dan penerimaan tinggi penuntut terhadap inisiatif berkenaan.

Data terkini menunjukkan hampir 500,000 baucar telah ditebus, dengan 60 peratus daripadanya adalah penuntut IPTA, 29 peratus dari IPTS dan 10 peratus dari pelajar bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Peningkatan kadar penebusan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran tinggi pelajar mengenai manfaat program berkenaan, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka dalam memanfaatkan inisiatif disediakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka.

Kejayaan ini turut disokong oleh lebih daripada kira-kira 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku yang berjaya dijual melalui platform MySiswaPlace.

Ini melibatkan kerjasama dengan lebih daripada 300 syarikat penerbit, pengedar dan penjual buku di seluruh negara.

Koleksi bahan bacaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai genre dan bidang, dari buku akademik hingga bahan rujukan profesional dan novel, yang sesuai dengan keperluan pendidikan penuntut IPT.

Dengan sokongan meluas daripada komuniti penerbit dan pengedar, program ini bukan sahaja menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membantu memperkukuh industri penerbitan tempatan.

Jumlah penjualan dijangka terus meningkat dengan signifikan, terutama menjelang tarikh akhir program penebusan baucar buku pada hari ini, 31 Disember 2024.

Permintaan yang tinggi daripada penuntut di seluruh negara mencerminkan keberkesanan usaha ini dalam memudahkan akses kepada bahan bacaan serta menyokong perkembangan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa.

Penuntut IPT di seluruh negara masih berpeluang menebus Baucar Buku MADANI Fasa 2 melalui portal rasmi MySiswaPlace di mysiswaplace.my sehingga hari ini.

Mereka juga digalakkan memanfaatkan peluang ini sebelum tarikh akhir. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *