KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan pecah amanah pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut, yang mana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.
Mahkamah menawarkan jaminan RM100,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mereka juga dilarang menganggu atau mempengaruhi mana-mana saksi pendakwaan.
Sebutan kes ditetapkan pada 22 Januari tahun depan. – Lapor Astro Awani
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252