LIVERPOOL 2 REAL MADRID 0
ALEXIS Mac Allister dan pemain gantian, Cody Gakpo, menemui sasaran ketika Liverpool meneruskan rekod sempurna dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan juara bertahan, Real Madrid, 2-0 di Anfield awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan The Reds memperoleh kemenangan pertama ke atas Madrid sejak sembilan percubaan lalu untuk pasukan bimbingan Arne Slot itu menduduki tangga teratas liga 36 pasukan terbaik Eropah berkenaan.
Tuan rumah memulakan saingan dengan meyakinkan dan terlebih dahulu menguji gawang pelawat menerusi percubaan Darwin Nunez, yang diselamatkan penjaga gol, Thibaut Courtois, seawal minit kelima.
Pasukan bimbingan Slot itu memecahkan kebuntuan pada tujuh minit pertama babak kedua hasil gandingan menarik Conor Bradley dengan Mac Allister, yang kemudian melakukan penyudah ke penjuru kiri bawah gawang Madrid.
Madrid sepatutnya menyamakan kedudukan selepas Andrew Robertson menjatuhkan Lucas Vazquez dalam kawasan penalti tetapi sepakan Kylian Mbappe mudah diselamatkan penjaga gol, Caoimhin Kelleher.
Mohamed Salah kemudian turut dijatuhkan Ferland Mendy di kawasan penalti bertentangan tetapi dia juga gagal menyudahkan peluang itu, di mana sepakannya terkena tiang.
Liverpool mengesahkan kemenangan hasil gerakan satu-dua Robertson dan Curtis Jones susulan satu situasi sepakan penjuru sebelum kapten Scotland itu melakukan lambungan yang kemudian ditanduk masuk Gakpo pada minit ke-76 untuk Liverpool memperoleh kemenangan kelima daripada lima perlawanan setakat ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252