KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Malaysia minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang untuk menukar Menteri Pelancongan, Tiong King Sing dengan individu lain yang lebih berwibawa demi menjaga nama baik negara.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, amat memalukan Malaysia apabila seorang menteri yang sepatutnya menjual produk Malaysia untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, sebaliknya bercakap seolah-olah Malaysia tidak aman dan selamat.
Beliau mendakwa, King Sing sengaja menimbulkan isu bahasa pada papan tanda dan iklan seolah-olah beliau anti bahasa Melayu.
“King Sing juga anti negaranya sendiri, Malaysia. Tidak patriotik dan nasionalis. Dia lebih Cina dari Cina tanah besar (China). Sikap rasisnya jelas sehingga terbawa-bawa kepada penduduk negara asing,” katanya pada kenyataan.
Beliau berkata, King Sing tidak ada sebab untuk meminta maaf kepada pelancong China kerana layanan tidak istimewa oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.
“Dakwaan King Sing kononnya dia ditanya oleh pelancong China apakah Malaysia sebuah negara perkauman adalah satu pembohongan dan wayang.
“Mana ada satu negara di dunia ini yang memberi layanan istimewa kepada pelancong yang melancong ke negara mereka sehingga terpaksa menukar papan iklan kepada bahasa pelancong?
“Orang Melayu yang melawat China bukan sedikit. Tapi papan iklan di pusat beli belah di Beijing, Shanghai dan lain-lain tetap dalam bahasa Mandarin. Kalau ada terjemahan pun dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Mustapha merujuk kenyataan King Sing baru-baru ini bahawa dia menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrim agama, susulan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.
Serbuan itu adalah operasi berskala besar terhadap premis-premis yang tidak memasang papan tanda bahasa kebangsaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252