KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terkejut dengan kenyataan terbaharu Parti Bersatu, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang mendakwa pernah mengiktiraf Sijil peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika menjawat jawatan Menteri Besar Selangor tidak lama dulu.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris mendakwa, pihaknya kesal dan kecewa dengan pendedahan itu.
Beliau menyifatkan, kenyataan Mohamad Azmin itu sebagai satu pengkhianatan terbesar dalam isu pendidikan negara.
“Perkasa berulang kali menegaskan pengiktirafan sijil UEC jelas bertentangan dengan semangat prinsip asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ianya merupakan titik pemisah antara kaum di negara ini.
“Mohamad Azmin sepatutnya mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Bahasa Melayu dan memastikan tiada ruang untuk perpecahan dalam sistem pendidikan di negara kita.
“Ini yang dikatakan kera di hutan disusukan, tapi anak di rumah kelaparan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamad Azmin Sabtu lalu, yang menegaskan isu pengiktirafan UEC tidak harus dipolitikkan mahupun dipersulitkan.
Malah, katanya, dia sendiri tidak teragak-agak memberi pengiktirafan kepada UEC ketika menjadi Menteri Besar Selangor.
“Soal UEC ini bukan perkara baru bagi saya, ketika saya menjadi menteri besar pada 2014 hingga 2018, dalam tempoh yang singkat saya tidak teragak-agak, dalam 2015 saya telah pun mengiktiraf UEC untuk masa depan negara,” kata Mohamad Azmin dipetik siaran portal MalaysiaKini.
Tegas Irwan Fahmi, bagaimana kerajaan hendak memperkasakan bahasa Melayu jika masih ramai lagi penderhaka yang mahukan sijil UEC itu terus diiktiraf.
Mohamad Azmin katanya, patut belajar dari Prof. Dr. Teo Kok Seong yang berbangsa Cina, tetapi menolak sijil UEC kerana mewujudkan dua sistem aliran pendidikan di negara ini.
“Tapi kita? Senang-senang nak iktiraf sijil UEC ini. Perkasa tidak mempolitikkan isu ini, tapi mahu melihat sistem pendidikan negara lebih cemerlang di masa akan datang,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
