BERITA UTAMA

Duit pencen pesara guru lebih RM570,000 lebur ditipu sindiket pelaburan emas

KUALA TERENGGANU: Seorang pesara guru kerugian RM570,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan jual beli emas yang tidak wujud.

Kejadian bermula pada 2021 apabila wanita berusia 59 tahun melihat kegiatan sebuah koperasi yang banyak menaja program-program keagamaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa memaklumkan pernah lihat koperasi dalam program televisyen dan mengetahui bahawa koperasi itu menawarkan kadar pulangan dividen pelaburan dengan kadar lapan hingga 15 peratus setahun.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan mangsa menjadi yakin dengan tawaran yang ditawarkan sebelum menjadi ahli koperasi berkenaan pada 29 Disember 2021.

“Mangsa kemudian ditawarkan menyertai pelaburan jual beli emas yang dikatakan diuruskan oleh anak syarikat koperasi berkenaan dengan tawaran kadar pulangan keuntungan yang tinggi sehingga mendorongnya membuat bayaran modal bagi tujuan membeli emas.

“Mangsa yang dijanjikan dengan keuntungan tinggi daripada penjualan emas berkenaan membuat 17 transaksi dalam dua akaun berbeza bermula Disember 2021 sehingga Julai 2022 membabitkan pelaburan keseluruhan sebanyak RM620,000.

“Mangsa mengatakan ada menerima bayaran balik keuntungan dijanjikan berjumlah RM50,000 sahaja dalam urusan berkenaan dan tidak ada sebarang bayaran selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, siasatan mendapati wang yang digunakan untuk pelaburan itu adalah simpanan peribadi dan wang pencen miliknya.

Mangsa yang merasakan dirinya ditipu syarikat berkenaan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak semalam.

“Setakat ini, kita menerima dua laporan polis daripada mangsa-mangsa yang mengalami kerugian selepas menyertai pelaburan yang ditawarkan koperasi berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *