BERITA UTAMA
Kes buli UPNM: Polis sudah rakam keterangan 9 individu

Kes buli UPNM: Polis sudah rakam keterangan 9 individu

KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam percakapan sembilan individu berhubung kes buli seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior, bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek utama kes itu pula akan dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, petang Isnin.

“Setakat ini kita sudah rakam percakapan sembilan individu dan suspek kita akan ambil (keterangan) petang ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam, 21 Oktober itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.

Akibatnya mangsa mengalami kecederaan dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.

Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Kejadian itu berlaku sehari sebelum seorang penuntut universiti sama ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Polis kemudiannya mengesahkan mangsa diperlakukan demikian ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *