BERITA UTAMA
“Kekalahan ini amat menyakitkan” - Pasukan kempen Kamala Harris

“Kekalahan ini amat menyakitkan” – Pasukan kempen Kamala Harris

WASHINGTON – Tiada apa lagi yang mampu dirumuskan selain mengakui kekalahan dalam perebutan kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya negara itu kelmarin sebagai “amat menyakitkan.”

Itulah yang kini sedang dirasakan Naib Presiden AS, Kamala Harris yang terpaksa akur menerima kekalahannya kepada pesaingnya, Donald Trump.

Dalam e-mel yang dihantar kepada kakitangan kempen Harris, pengurus kempen, Jen O’Malley Dillon menyatakan, Naib Presiden telah berhubung dengan Trump dan memberitahu “beliau akan bekerjasama dengan Presiden [Joe] Biden untuk memastikan peralihan kuasa yang aman, tidak seperti apa yang berlaku pada tahun 2020.”

“Kamu telah mengharungi cabaran luar biasa dan halangan yang sebahagian besarnya di luar kawalan kita. Kami tahu ini akan menjadi perlumbaan yang sangat sengit, dan ia memang begitu,” kata O’Malley Dillon kepada kakitangan kempen Harris.

Dalam masa sama, beliau mengakui “kekalahan itu teramat menyakitkan” dan “akan mengambil masa yang lama untuk diterima.”

Namun, pengurus kempen menegaskan, “usaha melindungi Amerika dari kesan pentadbiran Trump bermula sekarang,” dan Naib Presiden “belum selesai dalam perjuangan ini.”

Presiden terpilih Trump dijangka mengangkat sumpah pada 20 Januari depan. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *