SEOUL – Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Laut Timur pada pagi Selasa, menurut laporan agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.
Ketua Staf Bersama (JCS) mengesan pelancaran pada kira-kira jam 7.30 pagi waktu tempatan dari kawasan Sariwon di Wilayah Hwanghae Utara, yang terletak di wilayah barat negara itu.
JCS tidak mendedahkan jumlah peluru berpandu yang dilancarkan dan memaklumkan bahawa analisis sedang dijalankan.
“Di samping meningkatkan pengawasan dan kewaspadaan tentera bagi menghadapi kemungkinan pelancaran seterusnya, kami bersiap siaga sepenuhnya dan secara aktif berkongsi data peluru berpandu balistik Korea Utara dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Jepun,” menurut JCS menerusi satu mesej teks.
Insiden terbaharu itu berlaku hanya lima hari selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu, Hwasong-19, ke arah Laut Timur pada Khamis lalu.
Susulan pelancaran ICBM terbaharu itu, Korea Utara mendakwa bahawa mereka meningkatkan keupayaan peluru berpandu strategik.
Sebagai tindak balas, JCS melaporkan bahawa Korea Selatan, AS, dan Jepun mengadakan latihan udara bersama pada Ahad, yang turut melibatkan penempatan pesawat pengebom B-1B milik AS di perairan timur Pulau Jeju, Korea Selatan.
Korea Utara secara konsisten bertindak balas dengan keras terhadap kehadiran aset strategik AS di sekitar Semenanjung Korea, menuduh Washington meningkatkan ketegangan serantau. – BERNAMA-Yonhap
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252