Seleweng RM2.3b dana 1MDB: Najib diarah bela diri

Seleweng RM2.3b dana 1MDB: Najib diarah bela diri

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Datuk Seri Najib Razak membela diri terhadap empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sewaktu membaca alasan penghakiman, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Mahkamah Tinggi menolak hujah pembelaan bahawa tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion dana 1MDB adalah tidak sah.

Beliau yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, semua 25 pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Dari Aktiviti Haram (AMLA) 2001, memenuhi kriteria di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Selain itu katanya, mahkamah juga mendapati saksi pendakwaan mempunyai kredibiliti dan tiada siasatan yang berat sebelah, lapor Astro Awani.

Mengikut kertas pertuduhan, Najib, 71, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional, didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Selain kes 1MDB dan SRC, Najib juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram tambahan melibatkan RM27 juta daripada SRC International dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Mei tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.

Najib juga dituduh bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan RM6.6 bilion dalam dana kerajaan berkaitan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 14 Nov ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *