KUALA LUMPUR – Selain SG4 semakin lesu selepas tiada sebarang pelaburan antarabangsa diumumkan sejak pelancarannya setahun lalu, pelan The Greater Kedah juga berisiko menjadi retorik politik baharu Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), ini jelas kelihatan apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menamakan isu Sungai Muda sebagai salah satu perjuangan Greater Kedah.
Katanya, menteri besar itu terus memainkan sentimen bahawa sumber air Kedah diambil secara percuma oleh kerajaan Pulau Pinang.
“Hakikatnya, Pulau Pinang adalah pemilik bersama Sungai Muda untuk 30 kilometer terakhir sungai itu dan hanya menggunakan sumber air yang melalui di tanahnya berdasarkan prinsip Riparian.
“SG4 pula hampir 14 bulan berlalu, walaupun sepanjang tempoh itu PN mendakwa komitmen pelaburan sudah diterima dari Korea Selatan, Jepun dan China, tetapi setakat ini tiada sebarang nama pelabur diumumkan.
“Jika benar pelaburan itu wujud, adakah PN telah mencapai nilai pelaburan tersebut tanpa sebarang bantuan agensi persekutuan seperti MIDA? Hakikatnya, tanpa MIDA, negeri seperti Kedah tidak akan menikmati majoriti pelaburan asingnya sekarang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Faiz, MIDA telah membawa masuk pelaburan berbilion ringgit keempat negeri di bawah pentadbiran PN.
Misalnya, kata beliau, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pelaburan sebanyak RM32 bilion telah dibawa masuk ke Kedah.
“Ini menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengamalkan sikap pilih kasih dengan menjunjung prinsip federalism, di mana rakyat di empat negeri ini berhak menikmati pembangunan secara seimbang.
“Bukan itu sahaja, dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengangkat kebajikan dan kemajuan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Belanjawan 2025 menyebut akan mewujudkan perkumpulan ekonomi mengikut keistimewaan negeri seperti industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu serta tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah,” ujar beliau.
Beliau berkata, bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan untuk pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu Sabah dan Sarawak, iaitu tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi,” katanya.
Faiz yang juga Pengerusi Perhubungan Amanah Pulau Pinang menyatakan, Belanjawan 2025 turut menyebut mengenai projek hab hidrogen Terengganu yang akan dilaksanakan bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Katanya, walaupun PN cuba menyemai benih anti-federalisme menerusi retorik SG4, Kerajaan Madani terus mencari jalan menambahbaik sosioekonomi Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan tanpa mengira agenda politik.
“Inilah prinsip keadilan yang dituntut Islam. Pelaksanaan mengatasi kata-kata,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252