KUALA LUMPUR – Gabungan Kesatuan Pembantu Tadbir (GAPETA) menyambut baik cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung peningkatan gred pembantu tadbir di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Presidennya, Anuar Mamat berkata, sudah tiba masanya kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmat Awam (JPA) meningkatkan segera Skim Pembantu Tadbir dari gred N1 ke gred N5.
Ini katanya, agar penyandang skim berkenaan diiktiraf oleh kerajaan sebagai nadi pentadbiran Perkhidmatan Awam Malaysia yang dibebani dengan pelbagai tanggungjawab dan skop kerja yang multitasking pada masa kini.
“Skim Pembantu Tadbir atau dahulunya kerani adalah skim yang sangat ketinggalan dan keciciran dari segi peningkatan gred serta laluan kerjayanya.
“Malah, Pembantu Tadbir merupakan skim yang tertua dalam perkhidmatan awam dan ketika kerajaan mengumumkan SSPA pada 13 September lalu, ia masih lagi kekal pada gred N1 dengan syarat kemasukan adalah kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat yang menuntut kerajaan dan JPA meningkatkan gred pembantu tadbir di bawah SSPA.
Dr. Adnan dilaporkan berkata, cadangan berhubung peningkatan gred berkenaan sudah diadakan bersama JPA sebelum kerajaan mengumumkan SSPA lagi.
Katanya, CUEPACS juga sudah menghantar memorandum cadangan menaikkan gred kira-kira 300,000 pembantu tadbir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mengulas lanjut, Anuar berkata, dahulu skim itu setara dengan guru, jururawat dan lain-lain skim yang sama-sama berada dalam Kumpulan C.
Bagaimanapun, katanya, skim guru telah jauh meningkat dengan syarat kemasukan adalah berkelulusan ijazah atau gred DG 9.
“Ini sama dengan jururawat yang merupakan skim bersepadu, iaitu suatu penyandang yang boleh dinaikkan pangkat hingga kepada JUSA.
“Sedangkan majoriti pembantu tadbir masa kini mempunyai kelayakan akademik atau berkelulusan diploma dan ijazah, malah ada yang memiliki PhD,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
