KUALA LUMPUR – Berikut adalah kenyataan media bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, petang ini.
1. Sepanjang saya menjalani hukuman penjara selama 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan terkini yang signifikan berkaitan dengan 1MDB, saya terpanggil untuk membuat kenyataan berikut:
2. Pertama sekali, setiap hari saya berasa amat terluka mengetahui bahasa skandal 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
3. Perbicaraan mahkamah baru-baru ini dan sabitan kes terhadap eksekutif Petrosaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini yang diterbitkan oleh Teh Edge yang berdasarkan kepada analisa mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman Petrosaudi, sekali lagi membuktikan bahawa saya bukan dalang dan tidak bersengkokol dengan Jho Low menyeleweng dana 1MDB.
4. Rumusan daripada artikel yang diterbitkan oleh The Edge telah menyatakan bahawa Petrosaudi dan Jho Low bersekongkokol untuk memperdayakan saya. Saya tidak sedar bahawa Petrosaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya dengan tidak sengaja menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MBD kepada Petrosaudi.
5. Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab saudi. Sepertimana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi. Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil.
6. Apabila berlakunya kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB, saya sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza. Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan, namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan 1MDB. Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat tertinggi.
7. Saya telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah saya pikul walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada skandal 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersengkokol dengan Jho Low. Saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang. Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB.
8. Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB. Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau sengaja benarkan adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252