KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (Putra) gusar dengan laporan Bank Dunia bahawa lebih satu per empat graduan pemegang ijazah di negara ini bekerja dalam bidang tidak setaraf dengan kelayakan diperolehi.
Sehingga kini tiada dasar jelas diumum atau dikuatkuasakan kerajaan untuk menyelesaikan isu pekerjaan tidak setaraf bagi graduan itu.
Malah, kata Ketua Wiranya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, lebih merisaukan menurut laporan Tenaga Buruh Malaysia bagi suku pertama 2024, 80 peratus daripada jumlah keseluruhan yang menganggur adalah golongan muda berusia 15 hingga 34 tahun.
Ini katanya, jumlah anak muda yang berpotensi untuk masuk ke bidang ekonomi gig, di mana ada dari kalangan mereka merupakan pemegang diploma atau ijazah yang sepatutnya mendapat pekerjaan lebih baik setaraf dengan kelayakan dimiliki.
“Mencecah puluhan ribu graduan tamat pengajian setiap tahun, malah ratusan kursus peringkat diploma dan ijazah ditawarkan Kementerian Pendidikan melalui Universiti Awam dan IPTS hari ini menjadi tidak bermakna jika peluang pekerjaan mengikut bidang ditawar tidak tersedia.
“Sekurang-kurangnya 60 ke 70 peratus peluang pekerjaan setaraf daripada jumlah bakal graduan perlu diwujudkan setiap tahun.
“Ia perlu diselarikan dengan jumlah kursus yang akan ditawarkan supaya tidak berlaku berlebihan sumber yang akhirnya terpaksa menganggur selepas bergraduasi, menjadi pemandu p-hailing/e-hailing atau terpaksa bekerja di luar bidang demi memperoleh pendapatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Bank Dunia sebagai berkata, lebih satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak setaraf kelayakan mereka, selain sukar memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi.
Bank Dunia menyatakan, 26.9 peratus lepasan ijazah pada tahun 2022 tidak memanfaatkan kemahiran mereka, iaitu peningkatan besar berbanding hanya 8.6 peratus pada tahun 2010.
“Ini adalah signifikan kerana pemegang ijazah mewakili 48.6 peratus tenaga kerja berpendidikan tinggi pada tahun 2022,” kata Bank Dunia dalam laporan Malaysia Economic Monitor yang diterbitkan minggu ini.
Menurut Nasrul Ali Hasan, Wira Putra sedar terdapat program kerja jangka pendek antara Kementerian Sumber Manusia dengan syarikat swasta.
Namun ujar beliau, ia dilihat hanya menguntungkan syarikat terlibat kerana mendapat tenaga kerja murah, malah ada antaranya membayar elaun dengan sebahagian jumlah merupakan tajaan dari kerajaan.
“Akhirnya selepas tamat tempoh enam bulan hingga satu tahun berkhidmat, graduan tersebut akan kembali ke dalam putaran pengangguran kerana tidak diserap atau ditawar meneruskan perkhidmatan dan terpaksa bersaing dengan graduan baharu untuk mendapatkan pekerjaan.
“Tanpa pekerjaan yang baik, golongan muda ini hanya dapat menyimpan melalui caruman bulanan tidak setimpal atau tiada langsung.
“Walaupun kini terdapat inisiatif mencarum secara sukarela, namun ia hanya caruman individu dan tiada caruman daripada majikan. Ini akan memberi impak secara langsung kepada simpanan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah masalah masa depan rakyat sebagai aset penting negara dan penumbuhan ekonomi bukan sekadar dari hasil pelaburan antarabangsa yang masuk atau jumlah perdagangan keluar semata-mata, pendapatan rakyat yang baik dan optimum juga akan memberi impak ekonomi serta percukaian yang baik kepada negara.
“Para Menteri dan pegawai kerajaan sebagai pembangun dasar jangan membatu saja. Kerjasama antara kementerian yang terlibat perlu dilaksanakan segera.
“Perahlah otak dan tenaga untuk membantu rakyat dan cukup-cukuplah beretorik politik dengan kenyataan dan program yang tidak membangunkan ekonomi anak muda sebagai penerus masa depan negara,” ujar beliau.
Beliau turut satu jawatankuasa kemapanan ekonomi masa depan khusus menangani isu graduan bekerja tidak setaraf diwujudkan segera bagi mengelakkan laporan seumpama itu yang merendahkan kebolehpasaran graduan Malaysia diselesaikan segera. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252