Oleh: Zarina Zainal Abidin
PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) ingin mencelah dan menyatakan pandangan tegas berhubung isu membabitkan pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan yang akan dibentangkan di Parlimen dan sedang menjadi polemik di kalangan netizen kerana ianya merupakan perkara serius dan memberi kesan terhadap kewibawaan kedaulatan negara.
Parti Putra bagi pihak rakyat yang prihatin terhadap isu kewarganegaraan sangat terkesan dan memohon agar kerajaan Madani hari ini, tidak sewenang-wenangnya menerima mahupun menolak permohonan kewarganegaraan daripada individu terbabit secara membabi buta.
Terdapat pelbagai aspek perlu diambil kira dengan sehalus-halusnya dan jangan terburu-buru serta wajib diteliti baik buruknya dari aspek kedaulatan negara.
Ini bukan masalah kerajaan bapa kamu atau kerajaan kamu sendiri, tetapi ini membabitkan pelbagai faktor serta kesan selepasnya yang perlu dititik beratkan.
Sudah pastinya, Malaysia tidak mahu ‘semak kepala’ berhadapan dengan pelbagai kepincangan akan datang.
Kerajaan perlu lebih telus dalam mempertimbangkan perkara tersebut.
Pelbagai syarat perlu dipenuhi bukan sekadar dengan mudahnya asalkan anak tersebut lahir di Malaysia, maka secara automatisnya ibu bapanya kelak seolah-olah sedang ‘menunggu giliran’ untuk dialu-alukan sebagai salah seorang warganegara seterusnya.
Sudahlah 1.2 juta warganegara rakyat negara China masih berkeliaran dan tidak keluar-keluar dari negara kita, kita nak tambah lagi beban dengan menanggung entah biawak hidup mana pula untuk bertandang ke bumi bertuah ini.
Nak tunggu ada masalah baharu nak menyesal? Dengar sini kerajaan yang ada, percayalah, pada masa itu sesal sudah tidak berguna lagi bak kata peribahasa ‘lelar makan di upih, lagi putih lagi dikeruk’.
Di mana otak pemikiran kerajaan berhubung isu ini? Sekadar mengikut membuta tuli tanpa mempedulikan nasib anak cucu akan datang?
Sebagai blok kuasa politik ketiga yang amat mementingkan integriti dalam apa juga hal membabitkan negara, Putra memohon agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menimbang tara isu ‘berat’ ini. Campur tangan ini dilihat lebih telus dan tidak berat sebelah.
Kaji semula kelompongan yang terdapat pada Perkara 14 dan Perkara 15 Perlembagaan Malaysia yang membabitkan warganegara secara keseluruhannya.
Jangan jadikan Malaysia hub untuk memudahkan urusan bagi mereka yang menyimpan hasrat untuk menjadi warganegara di negara kita.
Tolonglah kerajaan yang ada hari ini, jangan butakan mata, pekakkan telinga atau mungkin butakan hati terus akan isu serius ini. Rakyat Malaysia sudah muak dengan drama yang ada sekarang. Jangan sampai kami ‘muntah’ secara berjemaah!
Kami sebagai pewaris asal tanah berdaulat ini sangat mementingkan jati diri dan tidak sesekali rela negara ini ‘dilacurkan’ semurah-murahnya kepada mereka yang sama sekali masih boleh dipertikaikan kewarganegaraannya. – ND
Penulis Zarina Zainal Abidin adalah Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang Anti Rasuah dan Integriti Parti Putra.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252