KUALA LUMPUR – Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mencipta sejarah dengan memadam rekod berusia 31 tahun acara 100 meter (m) wanita milik legenda G Shanti.
Atlet berusia 31 tahun itu melakukan catatan masa 11.49 saat (s) di Terbuka Perlis, hari ini sekali gus memecahkan rekod G Shanti, 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Pada aksi di Stadium Tuanku Syed Putra itu, pingat perak dimenangi oleh Nur Afrina Batrisyia Rizal dengan catatan 11.91s diikuti Azreen Nabila Alias ketiga, 12s.
“Setelah 31 tahun akhirnya Zaidatul Husniah Binti Zulkifli (KOM) berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 100 meter wanita dengan catatan masa 11.49 saat!,” tulis Kesatuan Olahraga Malaysia dalam laman media sosial rasminya.
Kejayaan itu pasti manis buat Zaidatul yang sebelum ini pernah mencatat masa 11.36s pada 2017 di Afrika Selatan namun tidak diiktiraf selepas dikatakan atas bantuan angin.
Zaidatul ketika ditemuramah menyatakan terima kasih kepada keluarganya yang datang menyaksikan persembahannya dan berharap kesemua peminat olahraga tempatan terus menyokong semua atlet negara.
Selain itu, kejayaan yang dilakar Zaidatul pastinya memberi petanda positif buat arena olahraga negara yang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand tahun depan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252