BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mendakwa Israel melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat mereka di selatan Lebanon, menyebabkan dua anggotanya cedera.
Israel mengakui tenteranya melepaskan tembakan di kawasan itu, atas alasan ada pejuang Hezbollah yang sedang berperang dengan Israel, beroperasi berhampiran pos Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Itali, penyumbang utama anggota pasukan itu, menyatakan bahawa tindakan tersebut ‘boleh dianggap sebagai jenayah perang’, manakala Washington menyatakan ‘kebimbangan yang mendalam’.
Tragedi itu berlaku selepas misi pengaman PBB minggu lalu menolak tuntutan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk ‘berpindah’ dari beberapa kedudukannya.
UNIFIL, dengan kira-kira 10,000 anggota pengaman yang ditempatkan di selatan Lubnan, menggesa gencatan senjata sejak ketegangan antara Israel dan kumpulan Hezbollah di meningkat pada 23 September, selepas setahun tembakan silang sempadan.
“Pagi ini, dua anggota pengaman cedera selepas sebuah kereta kebal Merkava IDF melepaskan tembakan ke arah sebuah menara pemerhatian di ibu pejabat UNIFIL di Naqura.
“Tembakan tanpa provokasi itu menyebabkan mangsa terjatuh, anggota pengaman tidak mengalami kecederaan serius, tetapi mereka masih berada di hospital,” tambahnya.
Jurucakap UNIFIL berkata mereka berasal dari Indonesia, sebuah negara yang menyumbang banyak anggota kepada pasukan tersebut.
Duta besar Indonesia ke PBB, Hari Prabowo, berkata serangan itu ‘jelas menunjukkan bagaimana Israel meletakkan dirinya di atas undang-undang antarabangsa, tanpa dikenakan tindakan, dan mengabaikan nilai-nilai keamanan bersama.
Israel berkata tenteranya ‘melepaskan tembakan di kawasan’ pangkalan UNIFIL selepas memberitahu pasukan PBB untuk mencari perlindungan.
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, berkata serangan itu dan serangan lain yang dituduh oleh UNIFIL ke atas Israel ‘boleh dianggap sebagai jenayah perang’, dan meminta penjelasan kerana ‘ia bukan satu kesilapan’.
Beliau menyifatkan tindakan ‘menembak’ itu sebagai ‘tidak boleh diterima’, dan mengemukakan bantahan kepada rakan sejawatnya di Israel serta duta besar Israel ke Itali.
Di Washington, Rumah Putih menyatakan ‘kebimbangan yang mendalam’, kata seorang jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
“Kami faham Israel sedang menjalankan operasi terancang berhampiran Garis Biru untuk memusnahkan infrastruktur Hezbollah… tetapi adalah kritikal bahawa mereka tidak mengancam keselamatan pasukan pengaman PBB, ” katanya.
Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, yang negaranya mempunyai kira-kira 370 anggota dalam misi itu, berkata ‘sebarang tembakan di sekitar pasukan atau kemudahan UNIFIL adalah tindakan cuai dan mesti dihentikan’.
UNIFIL berkata Israel turut menembak ‘pintu masuk ke kubu di mana anggota pengaman berlindung… merosakkan kenderaan dan sistem komunikasi’.
Misi itu menambah bahawa dron tentera Israel ‘dilihat terbang di dalam kawasan UN sehingga ke pintu masuk kubu’.
Ibu pejabat UNIFIL dan pos berhampiran ‘berulang kali terkena tembakan’, kata misi itu.
Pada Rabu, ‘askar IDF dengan sengaja menembak dan memusnahkan’ kamera pemantau perimeter di sekitar salah satu pos UNIFIL, tambah misi tersebut.
Ketua pasukan pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix, berkata bahawa pasukan pengaman berada dalam ‘risiko yang serius’, dan menjelang Ahad, 300 anggota Topi Biru dipindahkan sementara ke pangkalan yang lebih besar, dengan pemindahan 200 lagi dirancang.
Penempatan anggota UNIFIL di kedudukan paling terjejas akan dikurangkan sebanyak 25 peratus, katanya.
“Keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman PBB kini semakin terancam,” kata Lacroix kepada Majlis Keselamatan PBB pada Khamis. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252