BERITA UTAMA

Larian Pan Asia: ‘Kami mohon maaf’. Warga asing didenda RM5,000 buat lucah

KOTA TINGGI: Dua lelaki warga emas rakyat asing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan cara berpakaian menjolok mata ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sini Jumaat lalu.

Majistret NurKhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terhadap warga Taiwan, Arthur Wang, 66, dan warga India, Satyanarayana Prasad Papoli, 70.

Mengikut Pertuduhan ke atas Arthur Wang, dia didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan berpakaian menjolok mata di jalan utama Desaru, daerah Pengerang.

Satyanarayana Prasad Papoli, warga India didakwa melakukan perbuatan sama dengan berpakaian menjolok mata di perkarangan Lotus Desaru Hotel, Pengerang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 4 hingga 6 petang dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Ghafar Ab Latif, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada warga asing dan rakyat tempatan agar berpakaian sopan dan mengikut adat budaya negara yang dilawati.

Warga Taiwan dakwa pakaian dipakai budaya Orang Asli

Arthur adalah seorang pesara dan aktivis dalam rayuannya memohon denda ringan dikenakan dengan alasan tidak berapa mengenali dan memahami budaya konservatif di negara ini selain memberitahu mahkamah pakaian yang dipakainya adalah pakaian Orang Asli di ‘Orchid Island’, Taiwan. Dia memakai pakaian tersebut untuk mempromosikan budaya itu.

“Saya minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kesalahan ini sehingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, Satyanarayana yang merupakan bekas peguam dalam rayuannya turut memohon maaf dan meminta supaya denda dikurangkan kerana dia sudah berusia 70 tahun, mempunyai isteri yang bertugas sebagai doktor dan datang ke sini untuk mengikuti program amal.

Majistret kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM5,000 setiap seorang dan penjara satu bulan jika gagal membayar denda.

Kelmarin, polis menahan menahan tiga lelaki berusia antara 39 tahun hingga 70 tahun di sebuah hotel di Desaru di sini selepas dipercayai berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam kelmarin.

Polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit.

Ia termasuk sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *