BERITA UTAMA

Petani di Kelantan berdepan masalah untuk hasilkan padi pada musim depan – PESAK

KOTA BHARU: Petani di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan masalah untuk mengusahakan tanaman padi pada musim depan berikutan kelewatan kerajaan negeri menyelesaikan isu bekalan air di sawah.

Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (PESAK), Zuha Ismail, berkata isu itu sehingga kini tiada penyelesaian.

“Kami amat berterima kasih atas semua inisiatif yang diambil kerajaan Persekutuan dalam membantu PESAK berhubung perkara ini.

“Saya difahamkan kerja-kerja membaiki dan penyediaan pam di Kemubu dan Lemal akan dilakukan, namun sehingga kini tiada sebarang pemakluman daripada kerajaan negeri sama ada kerja-kerja itu telah dimulakan atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zuha berkata, ketika ini petani mengalami kerugian bagi dua musim penanaman sebelum ini yang berkemungkinan mengambil pendekatan tidak mengusahakan tanaman padi pada musim depan.

Beliau berkata, lebih 45 peratus daripada 7,721 petani di kawasan seliaan KADA tidak mengusahakan tanaman padi pada musim 1/2024, manakala sebahagian yang bertanam pula berdepan risiko banjir dan belum menerima bantuan baja ekoran kelewatan proses menanam padi.

“Tanaman padi musim ini juga berisiko menghadapi serangan serangga perosak sebab banyak kawasan tidak diusahakan,” katanya.

Pada 10 September lalu, kerajaan negeri memberi jaminan untuk membantu menyiapkan pembinaan Sistem Pam Kemubu dan Lemal dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan menerusi KADA.

Menteri Besar, Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dilaporkan berkata kerja penyelesaian jangka sederhana itu melibatkan membaiki benteng cerucuk sementara dan kerja-kerja berkaitan di Skim Pengairan Kemubu dengan anggaran kos RM15 juta. – BERNAMA


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *