KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid iaitu isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, hari ini berjaya memperoleh sementara pasportnya daripada Mahkamah Sesyen bagi urusan kerja di United Kingdom (UK) dan Jepun.
Permohonan Na’imah untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu dibenarkan Hakim Azura Alwi selepas peguamnya, Nizamuddin Abdul Hamid memberitahu mahkamah yang ia tidak dibantah oleh pendakwaan.
Nizamuddin memaklumkan pihaknya memohon pasport itu diserahkan hari ini kerana anak guamnya akan memulakan perjalanan pada 7 Oktober ini, dan ia dibenarkan oleh Azura.
Azura kemudian memerintahkan Na’imah memulangkan pasport itu pada 11 November ini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya tidak membantah permohonan itu.
Pada 22 Mac lalu, Na’imah gagal mendapatkan semula pasportnya secara kekal selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau yang memutuskan tidak terdapat ketidakadilan melalui keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan syarat tambahan jaminan.
Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, kerana gagal mengisytiharkan 12 harta seperti dikehendaki Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz.
Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku dan tanah serta bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252