KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (DUN) Mahkota, malam ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kemenangan itu merupakan momentum dari DUN Nenggiri, Gua Musang bulan lalu.
“Tahniah kepada calon BN, Syed Hussien di atas kemenangan.
“Tahniah kepada pengundi DUN Mahkota kerana memberi kemenangan sebagai tanda keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan Johor dan pusat.
“Ianya satu keputusan yang amat disyukuri kerana pengundi muda sekali lagi memberi sokongan kepada calon BN yang mewakili kerajaan perpaduan selepas kemenangan di Nenggiri,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Dalam keputusan kira-kira jam 8 malam, BN melakar kemenangan besar di DUN Mahkota dengan majoriti 20,609 undi, empat kali ganda berbanding dicatat parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dua tahun lalu.
Jumlah diperolehi Syed Hussein itu hasil kiraan undi tidak rasmi di semua 121 saluran peti undi bagi PRK DUN Mahkota sebentar tadi, yang mana BN mendapat 27,941 undi dan Perikatan Nasional (PN) 7,332 undi.
Dengan itu, BN telah memenangi PRK DUN Mahkota dengan majoriti 20,609 undi.
Menurut Ahmad Jazlan, anak muda lebih melihat agenda pembangunan masa depan bangsa dan negara melebihi daripada politik retorik, fitnah murahan serta adu domba yang sudah muak.
“Pandangan saya, gabungan mantap, solidariti dan kerjasama adalah resipi utama kemenangan.
“Semua pihak telah menyumbang kepada kemenangan ini dan seharusnya dikongsi bersama oleh parti-parti dalam kerajaan perpaduan.
“Tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi) yang kekal fokus dan kerap turun padang berkempe perancangan strategi yang membuahkan hasil, sekali gus melenyapkan suara sumbang yang hendak merosakkan institusi BN serta kerajaan perpaduan,” ujar beliau.
Kata beliau, jentera UMNO dan BN kekal bersolidariti bersama Presiden dengan menunjukkan disiplin gerak kerja yang kemas dan teratur. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252