KUALA LUMPUR – Sikapnya yang berdedikasi dalam menghasilkan produk yang berkualiti sehingga mendapat kepercayaan mendapat kepercayaan syarikat gergasi minyak, Petronas meletakkan dirinya untuk layak menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
Beliau ialah Ir. Azhar Zainal Abidin yang merupakan pengasas dan juga Pengarah Urusan ProEight Sdn. Bhd., iaitu firma kejuruteraan terkemuka yang mengkhusus dalam inovasi, reka bentuk dan pembuatan pengedap mekanikal, bahagian pam serta sistem sokongan pengedap untuk industri minyak dan gas.
Anugerah berprestij itu disampaikan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir. Bacho Pilong pada hari akhir Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) dan Minyak dan Gas Asia (OGA) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Dalam menerajui dan mengendalikan syarikat yang berpejabat di Rawang, Selangor itu, usahawan bumiputera yang berjaya ini lebih menitik beratkan kualiti dan pemikiran ke hadapan sebagai peneraju dalam inovasi kejuruteraan.
“Saya tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima anugerah yang dianggap paling berharga dalam industri minyak dan gas ini kerana, ratusan pengendali syarikat dalam industri ini di luar sana lebih layak.
“Bagaimanapun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada MOGSEC, Petronas atas penerimaan anugerah ini. Saya berjanji, syarikat akan terus tingkatkan lagi produktiviti berkualiti pada masa akan datang,” katanya di sini, semalam.
Anugerah Pencapaian sepanjang Hayat itu adalah satu penghormatan diberikan kepada individu yang sumbangan mereka kepada industri tenaga benar-benar cemerlang serta memberi kesan selama ini.
Menerusi kerjaya yang menjangkau beberapa dekad itu, Ir. Azhar telah membina reputasi yang kukuh untuk memacu kemajuan dalam teknologi serta menerapkan amalan mampan dalam sektor perindustrian.
Dedikasinya terhadap kualiti dan pemikiran ke hadapan telah memperoleh pengiktirafan sebagai peneraju dalam inovasi kejuruteraan
Selain itu, beliau juga merupakan juara tiga kali Anugerah Inovasi OGSE yang sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya serta syarikat Proeight sebagai inovator dalam industri.
Kerjanya secara konsisten menunjukkan teknologi termaju dan komitmen terhadap kecemerlangan memberikan beliau pengiktirafan antarabangsa yang meluas dalam sektor minyak dan gas.
Proeight turut terlibat sebagai pempamer di majlis yang berlangsung selama tiga hari dari Rabu hingga Jumaat semalam.
“Penglibatan syarikat dalam MOGSEC dan OGA 2024 secara tidak langsung telah meraikan kerjasama, kreativiti dan semangat inovasi yang akan terus memacu industri kami ke hadapan.
“Terima kasih kepada semua yang hadir ke reruai kami dan terima kasih kepada rakan-rakan industri yang turut menerima beberapa anugerah OGSE 2024,” katanya. – ND