KUALA LUMPUR: Trofi Bintang Asia Terbaik – Malaysia yang dimenanginya pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, kelmarin meletakkan aktres Siti Saleha dalam liga tersendiri.
Tanpa perlu mencanang kemampuan diri atau perkara belum pasti, pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd Baharum, 34, berjaya membuktikan setiap usaha atau kerja keras dilakukan pasti disusuli dengan ganjaran.
“Sejujurnya, saya tak pernah letak sasaran menang anugerah di peringkat antarabangsa seperti ini.
“Saya percaya jika berikan 100 peratus komitmen kepada kerjaya, naskhah bagus dan suka dengan apa yang dilakukan, kalau rezeki menang, pasti akan menang.
“Saya rasa mengharapkan perkara tidak dijangka adalah lebih baik daripada beriya-iya nak menang, tapi tak menang. Perasaan ini lagi teruk.
“Jadi, tak perlulah nak terlalu berharap. Kalau sudah ditakdirkan rezeki, ia tetap rezeki kita,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, nama Siti Saleha dicalonkan dalam acara anugerah itu menerusi drama Tonton Original Series berjudul SeOfis yang ditayangkan di platform digital itu pada Januari lalu.
Memandangkan kemenangannya berdasarkan undian peminat menerusi aplikasi Idol Champ, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi 27, 34 dan 34 itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras peminat yang begitu setia menyokong sejak saya mula menceburkan diri dalam dunia lakonan.
“Rasa sangat beruntung kerana peminat sentiasa bersama saya. Insya-Allah, mungkin saya akan mengadakan majlis bersama peminat selepas pulang ke Malaysia.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana mencalonkan nama saya dan drama SeOfis,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Saleha berharap kejayaannya itu bukan sahaja dapat membuka mata banyak pihak mengenai bakat besar dimiliki pelakon dari Malaysia, malah menjadi tiket mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa.
“Anugerah ini sangat istimewa buat saya. Siapa tak nak terima anugerah di pentas global dan nama dicalonkan bersama aktor dan aktres terkemuka Asia.
“Saya amat bangga kerana bukan sahaja mewakili Malaysia, tetapi ia juga peluang buktikan ada ramai bakat dari Malaysia yang boleh kembangkan kerjaya ke luar negara.
“Saya harap dengan platform ini boleh buktikan ada banyak yang anak Malaysia boleh berikan.
“Anugerah ini ibarat satu permulaan untuk raih kejayaan lebih besar,” ungkapnya.
Ditanya adakah sudah bersedia berhijrah demi menggapai impiannya, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu mengakui, dia akan melakukannya jika keadaan memerlukan.
“Kalau ikutkan, saya memang selesa di sini, tapi sudah tentu saya tak menolak jika berpeluang bekerja dengan karyawan antarabangsa.
“Secara kebetulan, saya juga minat melancong. Tapi, bukanlah saya nak berhijrah selama-lamanya kerana Malaysia tetap di hati,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas apakah mampu merampas kembali trofi Aktres TV Wanita Popular daripada tangan Anna Jobling untuk penganjuran ABPBH, tahun ini, Siti Saleha lebih selesa bersikap realistik.
“Saya sangat gembira kerana sekali lagi dicalonkan, tahun ini. Tahun lepas saya dicalonkan, tapi tak menang.
“Bukanlah saya terlalu mengharap nak menang, cuma sukar. Ini kerana ada ramai bakat baharu yang mempunyai ramai peminat.
“Untuk menang, kita kena ada drama disiarkan di TV dan memang kena betul-betul popular.
“Saya tak tahu sama ada boleh menang atau tidak, tahun ini. Tapi dengan adanya peminat setia, saya boleh anggap diri saya sudah pun menang.
“Kena beri peluang juga untuk pelakon lain merasa untuk menggenggam trofi popular,” tuturnya.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh yang membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252