KANGAR – Seorang pendakwah selebriti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis atas kesalahan menggunakan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf.
Tertuduh, Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin, 34, berasal dari Kodiang, Kedah itu mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang DiPertua Negeri Melaka pada 4 Mei tahun lalu sekitar jam 11.30 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Jalan Kangar-Alor Setar di Kangar.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
Kesalahan berkenaan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 4A(6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaam) 2016 (Enakmen A21).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi.
Muhamad Asyraf dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh.
Manakala, Nur Iman mewakili anak guamnya pula membantah permohonan Muhamad Asyraf dengan alasan bahawa nilai jaminan sebanyak RM50,000 adalah keterlaluan.
Malah, dalam hujahannya, Nur Iman berkata anak guamnya hanyalah bekerja sebagai seorang pengetua Maahad Tahfiz di Kedah serta sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Dalam masa yang sama juga, anak guamnya menderita sakit gout dan asma selain Nur Iman memohon satu jaminan yang minimum dapat diberikan kepada anak guamnya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 28 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula.
Sebelum ini, Ahmad Husam ditahan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada pada 2 Mei tahun lalu apabila seorang pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Kaki Bukit, Kangar terbaca satu hantaran yang dimuat naik oleh suspek.
Hantaran berkenaan dimuat naik sekitar jam 10 malam pada hari sebelumnya oleh Ahmad Husam pada Facebooknya serta mempunyai seramai 306,000 pengikut.
Berdasarkan pada hantaran berkenaan, Ahmad Husam menggunakan gelaran dan anugerah ‘Datuk’ pada profil akaun Facebook dan pada paparan poster tertera nama beliau yang menggunakan gelaran berkenaan.
Sehubungan itu tiga kertas siasatan dibuka polis mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
Selain itu, polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252