LONDON – Manchester United mesti lebih garang kata Erik ten Hag sesudah terlepas beberapa peluang ketika seri 0-0 di Crystal Palace awal pagi tadi.
Percubaan Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes terkena palang buat pelawat pada babak pertama ketika United mendominasi di gelanggang yang mana mereka dibelasah 4-0 hanya empat bulan lalu.
Namun dua tindakan penyelamat mengagumkan daripada penjaga gol Andre Onana selepas rehat menafikan Palace kemenangan pertama mereka dalam liga musim ini.
Satu mata menyaksikan United merudum ke tangga ke-11 selepas hanya menang dua daripada lima perlawanan pertama mereka dalam kempen baharu Liga Perdana Inggeris.
“Saya tidak berpuas hati, kami sepatutnya menang,” kata Ten Hag. “Separuh masa pertama kami makan mereka hidup-hidup, babak kedua lebih seimbang.
“Kami beraksi dengan amat bagus (pada babak pertama), menguasai perlawanan, satu-satunya perkara adalah dalam kotak penalti dan di kawasan itu perlawanan ditentukan. Kami patut lebih klinikal di sana.”
Bos Palace, Oliver Glasner bertindak menggantikan dua pemainnya ketika rehat yang menyaksikan pertembungan lebih kompetitif pada separuh masa kedua.
“Pada babak pertama kami memerlukan seorang penjaga gol hebat dan mujur kami mempunyainya hari ini,” kata Glasner.
“Pada babak kedua ia lebih kelihatan sebagai pasukan Crystal Palace dan itulah yang kami perlukan untuk menentang pasukan seperti Manchester United.”
Keputusan seri menyebabkan Palace merosot ke tangga ke-16, tetapi United lebih kecewa dengan peluang yang disia-siakan untuk meraih tiga kemenangan dalam tempoh lapan hari. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252