KOTA DAMANSARA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan pendidikan kepada sekolah dan pelajar sekitar Kota Damansara bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan sepanjang sesi persekolahan.
Sebanyak lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sekitar Sungai Buloh menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM50,000, manakala 11 Sekolah Kebangsaan (SK) diberikan peruntukan RM55,000.
Dalam pada itu, seramai 500 pelajar menerima bantuan berjumlah RM50,000 melalui Program Penyerahan Insentif Pendidikan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bantuan itu untuk membantu sekolah memantapkan tahap pencapaian pelajar melalui pelaksanaan program pendidikan.
Ia termasuk bantuan tunai kepada pelajar di kalangan asnaf dan keluarga B40 dalam meningkatkan tahap akademik murid untuk sesi persekolahan bagi tahun 2024.
Penyerahan insentif pendidikan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan di Dewan MBPJ Seksyen 7 Kota Damansara, hari ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Young Syefura Othman; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Ketua Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.
Sementara itu, Ramanan dalam ucapannya berharap bantuan itu dapat membantu pihak sekolah meningkatkan pencapaian akademik murid melalui program pendidikan agar mencapai prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) serta pencapaian pelajar.
“Saya ucapkan terima kasih kepada YBR yang berterusan membantu pelajar dan murid di sekitar Sungai Buloh. Ini secara tidak langsung dapat meringankan sedikit bebanan kewangan ketua keluarga dalam menyediakan kelengkapan pembelajaran untuk anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Young Syefura dalam ucapannya berkata, bantuan itu dapat membantu ibu bapa dan pihak sekolah menyemai semangat kepada pelajar dan murid dalam mengendalikan program yang memberi input tambahan terhadap prestasi pembelajaran.
Beliau memberi contoh, Bantuan Tuisyen Rakyat yang disalurkan itu dapat membantu sekolah mengadakan kelas tambahan secara percuma khususnya kepada pelajar Tingkatan 5 sebagai pecutan akhir sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelasnya lagi, usaha itu adalah inisiatif membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan, selain sebagai salah satu strategi YBR membantu komuniti setempat.
Untuk rekod, sehingga September ini, seramai 24,306 murid melibatkan 226 sekolah telah menerima manfaat bantuan sekolah dan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.94 juta. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252