BERITA UTAMA
Taiwan soal siasat ketua syarikat alat kelui dikaitkan letupan di Lubnan

Taiwan soal siasat ketua syarikat alat kelui dikaitkan letupan di Lubnan

TAIPEI – Presiden dan pengasas syarikat Taiwan yang dikaitkan dengan letupan beribu-ribu alat kelui menyasarkan Hizbullah di Lubnan disoal siasat oleh pendakwa raya pada Khamis, namun kemudiannya dibebaskan.

Presiden dan pengasas Gold Apollo berpangkalan di Taiwan, Hsu Ching-kuang, berkata syarikatnya tidak mengeluarkan peranti yang digunakan dalam serangan itu.

Sebaliknya katanya peranti itu dibuat oleh syarikat BAC yang berpangkalan di Budapest, yang diberi lesen untuk menggunakan jenamanya.

Imej alat kelui yang musnah menunjukkan format dan pelekat di bahagian belakang yang konsisten dengan alat kelui yang dibuat oleh Gold Apollo.

Ching-kuang bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan ketika beliau meninggalkan salah satu pejabat pendakwa raya Taiwan pada lewat Khamis.

Panggilan ke pejabat pendakwa raya sebelum itu tidak dijawab.

Pendakwa raya Taipei tidak mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini mengenai siasatan mereka terhadap Gold Apollo.

Seorang lagi turut dilihat meninggalkan pejabat pendakwa raya ialah Teresa Wu, pekerja tunggal sebuah syarikat bernama Apollo Systems Ltd, namun beliau juga enggan bercakap kepada pemberita.

Ching-kuang berkata, minggu ini seorang yang dikenali Teresa sudah menjadi salah seorang kenalannya bagi memeterai perjanjian dengan firma BAC berpangkalan di Hungary itu.

Rekod syarikat menunjukkan Apollo Systems sudah ditubuhkan oleh Wu pada April tahun ini, namun tidak jelas mengenai hubungan antara syarikatnya dan BAC.

Kerajaan Taiwan berkata, mereka sedang menyiasat kes yang berlaku dan polis sudah membuat beberapa lawatan ke syarikat Ching-kuang, termasuk pejabatnya yang kecil lagi sederhana di bandar Taipei.

Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan hampir 3,000 cedera apabila alat kelui digunakan anggota Hizbullah meletup secara serentak di seluruh Lubnan pada Selasa.

Menurut sumber kanan keselamatan Lubnan dan sumber lain, bahan letupan di dalam peranti itu diletak oleh agensi perisik Israel, Mossad.

Hizbullah yang disokong Iran berikrar untuk membalas dendam terhadap Israel, yang tidak mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.

Kedua-dua pihak terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak konflik Gaza meletus Oktober lalu.

Beribu-ribu alat kelui dan peranti lain yang meletup di Lubnan minggu ini menandakan peningkatan baharu dan membawa maut dalam penggunaan rantaian bekalan terhadap musuh.

Tragedi itu secara tidak langsung membangkitkan keperluan baharu kepada pemimpin global untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada teknologi daripada pesaing.

Walaupun peranti dipasang jerangkap samar telah digunakan dalam kalangan pertubuhan perisikan selama bertahun-tahun, ia tidak pernah menyaksikan skala dan keganasan seperti serangan di Lubnan.

Letupan peranti, yang disusuli dengan letupan radio perhubungan (walkie talkie), membunuh sekurang-kurangnya 37 orang, termasuk dua kanak-kanak, dan mencederakan kira-kira 2,300 lagi di Lubnan.

Tragedi itu mencemaskan anggota keselamatan di serata dunia termasuk pegawai berpengalaman, yang bimbang rantaian bekalan global bagi menghasilkan barangan murah boleh berubah menjadi senjata di tangan musuh asing.

Hizbullah menerima alat kelui atau ‘pager’ – teknologi gred rendah yang sinonim dengan tahun 1990-an – dalam usaha untuk mengelakkan pengawasan AS dan Israel. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *