BERITA UTAMA
PRK Mahkota: Kemenangan Syed Hussien mampu bawa mesej kestabilan kepada pelabur

PRK Mahkota: Kemenangan Syed Hussien mampu bawa mesej kestabilan kepada pelabur

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah selaku wakil Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu menang bagi menghantar mesej jelas kepada pelabur mengenai kestabilan politik negara.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, ini kerana ekonomi Malaysia sedang berada di landasan yang baik dan kerajaan berhasrat menarik lebih ramai pelabur ke negara ini, sekali gus membawa limpahan ekonomi lebih baik.

“Kita nampak ringgit semakin kuat (mengukuh) dan lebih banyak pelabur nampak potensi Malaysia dan berhasrat untuk melabur di sini, jadi kestabilan politik sangat penting buat mereka.

“Jika tidak menang, akan menghantar mesej kepada pelabur asing iaitu mungkin politik di Malaysia tidak stabil lagi… ini yang mereka takut kerana apabila ada pertukaran kerajaan, akan ada pertukaran polisi dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri ceramah berkelompok Perpaduan di sini malam tadi.

Terdahulu, semasa menyampaikan ceramah kepada komuniti Cina, beliau berkata usaha DAP membantu calon BN daripada UMNO kali ini adalah untuk membalas budi parti itu yang bersungguh-sungguh membantu memenangkan calon mereka iaitu Pang Sock Tao pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Mei lepas.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata beliau sendiri menjadi saksi bagaimana jentera UMNO bekerja keras untuk parti berkenaan sepanjang tempoh kempen bagi mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

“Untuk balas budi UMNO, kita bekerjasama memastikan kita boleh membantu kemenangan calon mereka dan mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti undi tinggi, menunjukkan kita memiliki politik yang sangat stabil dan Kerajaan Perpaduan mampu bertahan lima, 10 tahun lagi.

“Selain itu, kita juga mahu menghantar mesej jelas kepada Perikatan Nasional (PN) untuk berhenti memainkan politik perkauman kerana kita boleh bekerjasama dengan baik,” katanya.

Teo, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, percaya Syed Hussien mampu menjadi jambatan kepada pelbagai lapisan masyarakat di DUN Mahkota selain berkeupayaan melaksanakan agenda negeri dan Persekutuan dengan baik.

PRK Dun Mahkota pada 28 September ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon PN Mohamad Haizan Jaafar.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lalu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *