BERITA UTAMA
Aisyah Hijanah, Alif Teega ‘mesra’, jadi cerai atau tidak?

Alif Teega didakwa salahguna dana awam lebih RM63,000 untuk infaq korban, iftar

KUALA LUMPUR – Pempengaruh Islamik, Alif Teega didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq, April dan Jun lalu.

Bagaimanapun, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya mohon bicara,” katanya ringkas.

Alif yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga ditemani isterinya, Aisyah Hijanah Azhari kelihatan tenang ketika berada di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, Alif didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria, Palestin di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini, pada 26 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pempengaruh itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN di bank yang sama pada 15 Jun lalu.

Oleh itu, Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memohon jaminan RM50,000 hingga RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan yang mewakili Alif memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin dengan alasan kesemua harta dan wang anak guamnya sudah dibekukan SPRM.

“Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh memberikan kerjasama yang baik dan hari ini dia hadir sendiri ke mahkamah, tertuduh hanya ada RM10,000.

“Berhubung dengan melapor diri di pejabat SPRM, pihak kami tidak membantah dengan permohonan itu,” kata peguam berkenaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti diminta pendakwaan.

Tarikh 21 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes.

Sementara itu, Aisyah ketika ditemui selepas prosiding berkata, dia dan suami memberikan kerjasama penuh kepada SPRM berhubung pertuduhan ke atas mereka.

“Kita akan bagi kerjasama penuh sehingga kes selesai,” katanya dipetik BHNews.

Ditanya mengenai status perkahwinannya dengan Alif, Aisyah enggan mengulas mengenai perkara itu.

Sebelum ini, media melaporkan, Aisyah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak pada Ogos lalu.

Pada Julai lalu, Alif dan isterinya yang juga pempengaruh popular direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Turut direman ialah dua lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Perintah reman itu dibuat selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahannya.

Sebaik direman, pasangan itu kemudian membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahan reman itu mengikut Seksyen 23 SPRM berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Bagaimanapun Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan pasangan itu apabila mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya mematuhi peruntukkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pasangan suami isteri itu turut menegaskan mereka tidak pernah menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *