BERITA UTAMA
Kenyataan Hanipa Maidin pandangan peribadi, bukan mewakili Amanah

Pas bercakap pasal judi, jenayah di negeri tadbirnya berleluasa

KUALA LUMPUR – Muktamar Pas baru-baru ini jelas membuktikan kemunduran mentaliti parti itu sekarang.

Pelbagai kenyataan dalam muktamar itu termasuk mengelar kejadian lubang benam KL sebagai bala Allah dan seruan untuk ahli Pas berkahwin dengan bukan Melayu bagi meraih undi sama sekali tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Malah, kata Setiausaha Agung Parti Amanah, Faiz Fadzil, Pas juga tidak berpijak pada realiti apabila mencabar kerajaan pusat mengharamkan perjudian di semua negeri.

“Sedangkan ketika Pas menjadi kerajaan di persekutuan (2020-2022), Pas gagal untuk mengambil apa-apa langkah mengharamkan judi, malah meningkatkan cabutan khas loteri daripada lapan kepada 22.

“Sememangnya judi haram di sisi agama Islam dan sebab itu kerajaan mengharamkan semua bentuk perjudian ke atas orang Islam.

“Tetapi, Pas lupa judi bukan faktor tunggal berlakunya gejala jenayah dan penyakit sosial. Pas hanya menggunakan judi sebagai alat politik untuk menunjukkan parti itu berjuang Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Faiz, jenayah lain terus berleluasa di negeri tadbir Pas atau SG4 tanpa perkara itu dibangkitkan dalam muktamar Pas.

Kata beliau, persoalannya, adakah jenayah lain bukan kesalahan syarie berbanding judi?

“Ironinya, negeri tadbir Pas atau SG4 adalah antara yang tercorot dalam konteks banduan sabitan, kes jenayah, keganasan rumah tangga dan tangkapan kes dadah.

“Data Jabatan Perangkaan menunjukkan kes jenayah keseluruhan pada tahun 2022 di Kedah melonjak lebih 22 peratus dan di Kelantan hampir 10 peratus.

“Kadar ini adalah tertinggi di Semenanjung Malaysia di mana majoriti negeri mencatatkan penurunan kes jenayah. Kes di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing berkurang hampir 13 dan 10 peratus pada tahun sama,” katanya.

Dalam konteks jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun dan sebagainya, Kedah mendahului carta di Semenanjung Malaysia dengan peningkatan kes sebanyak 22% pada tahun 2022.

Jelas Faiz lagi, berdasarkan bilangan banduan sabitan tahun 2022 berbanding populasi, empat daripada lima negeri teratas adalah dipimpin oleh Pas.

“Di Perlis, banduan sabitan tahun 2022 adalah 0.78% populasi negeri, Kelantan (0.44%), Terengganu (0.42%) dan Kedah (0.42%). Untuk perbandingan, Pulau Pinang hanya mencatatkan 0.39%, manakala Selangor dan KL mencatatkan 0.31%.

“Di Terengganu, Kelantan dan Perlis turut mendahului carta dalam aspek tangkapan dadah. Pada tahun 2022, sebanyak 93 tangkapan dadah dibuat di Terengganu bagi setiap 10,000 populasi. Di Kelantan dan Perlis masing-masing adalah 86 dan 84 tangkapan.

“Kegagalan Pas dalam memelihara institusi rumah tangga juga terserlah memandangkan Kedah dan Kelantan adalah “top scorer” dalam isu keganasan domestik. Kedah mencatatkan 1.64 kes keganasan rumah tangga pada tahun 2022 bagi setiap 1,000 isi rumah, manakala Kelantan pula 1.37 kes. Di Selangor, bilangan kes bagi 1,000 isi rumah adalah 0.72 dan di Pulau Pinang 0.99,” ujarnya.

Beliau berkata, melihat data-data itu, timbul satu persoalan besar, di manakah Islam dalam pentadbiran Pas?

“Judi kononnya telah dihapuskan, namun dadah, keganasan domestik dan jenayah gagal dibendung. Hakikatnya, Pas gagal dan bak kata perwakilannya dalam muktamar sendiri, kepimpinan Pas telah gagal mengawal selia kualiti pemimpin.

“Peningkatan kes jenayah dan penyakit sosial ini melambangkan kelemahan pemimpin Pas mentadbir SG4 dengan baik. Sebenarnya, Pas yang merestui krisis nilai dalam negara ini,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *