BUKIT KAYU HITAM – Rancangan segelintir rakyat Malaysia untuk bercuti ke Thailand terbantut apabila gagal melepasi pemeriksaan Imigresen di sempadan kerana berada dalam senarai hitam ke luar negara.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, antara masalah mereka ialah tunggakan cukai pendapatan, cukai kastam, pasport rosak dan kes jenayah lama yang tidak diselesaikan.
Beliau berkata, pihaknya mengesan 10 kes pasport rosak, termasuk pasport yang koyak, terkena air, hilang muka surat, dan contengan oleh kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai (LHDN) dan sembilan kes membabitkan isu kastam.
“Untuk elak kekecewaan di saat akhir, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemak status perjalanan mereka di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara.
“Anda hanya perlu memasukkan nombor Mykad untuk mengetahui jika ada sebarang sekatan yang dikenakan,” katanya sepertimana dipetik Berota Harian dalam kenyataan agensi itu hari ini.
Mohd Ridzzuan berkata, dalam suasana musim cuti sekolah ini, semakan awal status perjalanan menjadi langkah penting bagi memastikan percutian yang dirancang tidak terganggu oleh perkara-perkara yang boleh dielakkan.
Antara yang terjejas ialah pelancong yang dikenali sebagai Maznah, 45, dari Ayer Keroh, Melaka apabila hasratnya untuk menyertai rombongan Hari Keluarga di Thailand tidak dapat dilaksanakan apabila diberitahu namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
“Pegawai Imigresen memberitahu nama saya dalam senarai ‘black list’ kerana gagal jelaskan cukai pendapatan.
“Saya memang teruja nak makan tomyam di sana (Hatyai) selain bercuti dengan keluarga besar, tapi tiba-tiba semuanya musnah kerana saya tak sedar ada masalah cukai,” katanya.
Ramesh, 36, dari Gelang Patah, Johor, mengalami nasib malang apabila percutiannya bersama keluarga ke negara jiran terpaksa dibatalkan kerana pasport anaknya diconteng tanpa disedarinya.
Katanya, semua hotel dan penginapan sudah ditempah dan mereka merancang untuk bercuti di Hatyai selama tiga hari.
“Namun sebaik sampai di kaunter, pegawai Imigresen beritahu pasport anak saya rosak.
“Saya memang tak perasan ada contengan. Habis semua perancangan kami,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252