BERITA UTAMA
Cintai Rasulullah SAW, jadikan Baginda suri teladan kehidupan - Sultan Selangor

Cintai Rasulullah SAW, jadikan Baginda suri teladan kehidupan – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446H kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini.

Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh umat Islam terus menguatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan sunnah Baginda.

Untuk mencintai Rasulullah SAW, Sultan Selangor bertitah bahawa umat Islam perlu mengenali keperibadian dan sirah perjuangan Rasulullah SAW.

“Mencintai Rasulullah SAW wajar dimulai dengan menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam setiap aspek kehidupan, mengakui kebenaran yang dibawa, mengkaji kehebatan serta mengagungkan kemuliaan dan kebesaran Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah SWT.

“Mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW bukan semata-mata mengingati kelahiran baginda pada 12 Rabiul Awal sahaja, ia hendaklah disematkan di dalam jiwa dan setiap detik nadi yang berdenyut,” titah Sultan Sharafuddin.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446 Hijrah kepada semua umat Islam dan mengajak mereka menghayati nilai-nilai murni yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam kehidupan seharian.

Ahmad Zahid menerusi hantaran dimuat naik di laman sosial berkata sambutan Maulidur Rasul ini bukan sekadar memperingati kelahiran Baginda, tetapi juga mengingatkan umat Islam untuk terus mencontohi keperibadian mulia serta memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat.

“Semoga semangat Maulidur Rasul ini mendorong kita semua untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan kemajuan, bukan hanya dalam kehidupan duniawi tetapi juga ukhrawi di samping beristiqamah dalam meneladani Baginda.

“Semoga kita dapat bersama-sama membina sebuah negara yang lebih sejahtera dan makmur. Insya-Allah,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula mengajak umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad bagi menunjukkan rasa cinta kepada Baginda.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini, ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan ia satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan hakiki dunia dan akhirat.

“Marilah kita bersama-sama merenung sunah dan ajaran Baginda dalam usaha menjadi umat yang diredai Allah SWT.

“Semoga kita sentiasa memantapkan keyakinan, meningkatkan kecintaan, mencontohi pelakuan dan menghayati al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, serta memperoleh syafaat Baginda di Padang Mahsyar kelak,” katanya.

Sementara itu beberapa jemaah menteri lain turut mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam hantarannya mengajak umat Islam meneladani akhlak mulia Baginda dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Turut senada, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *