BERITA UTAMA
Peniaga kecil tempatan Cyberjaya kesal sering disaman, barangan disita PBT

Peniaga kecil tempatan Cyberjaya kesal sering disaman, barangan disita PBT

SEPANG – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Sepang mohon Majlis Perbandaran Sepang mengeluarkan permit sementara kepada peniaga tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan di pinggir jalan sekitar Cyberjaya.

Ahli Dewan Tertinggi Putra Malaysia, Mohamed Shahrin Ismail berkata, peniaga kecil di situ melibatkan Melayu, Cina dan India sudah lama membuat permohonan permit untuk berniaga di situ, tetapi belum ada apa-apa keputusan, melainkan tindakan PBT menyita barangan perniagaan mereka.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Putra Selangor menjelaskan, pihaknya menerima aduan kebanyakan peniaga kecil di situ yang berdepan masalah mencari rezeki berikutan saman yang dikenakan pihak PBT berkenaan.

“Kami membuat tinjauan yang diketuai Ahli Jawatankuasa Putra Cawangan Cyberjaya, Ruzaimah Jamaluddin semalam, mendapati majoriti peniaga kecil mengeluh kerana didatangi pihak PBT menghalau, menyaman dan menyita barang perniagaan mereka.

“Peniaga di sini memaklumkan, mereka acap kali turun naik ke pejabat Majlis Perbandaran Sepang untuk membayar saman dan mendapatkan semula barangan yang disita.

“Selain itu, mereka juga memohon permit sementara bagi menggelakkan daripada terus disaman dan disita, tetapu dimaklumkan kawasan Cyberjaya berada dalam perancangan bandar dan tidak boleh ada sebarang aktiviti perniagaan,” katanya kepada NasionalDaily di sini, hari ini.

Operasi saman dan sita

Beliau menyifatkan jawapan pihak berkenaan sebagai menjengkelkan dan tidak boleh diterima oleh masyarakat serta komuniti di situ kerana seolah mendiskriminasi peniaga kecil terutama penduduk tetap.

Kata Mohamed Shahrin, pihak terbabit seolah menafikan hak peniaga dan penjaja kecil warga tempatan mencari rezeki bagi menampung keluarga dan keperluan hidup yang semakin mendesak dengan berniaga secara kecil-kecilan.

“Sebagai warganegara, mereka sewajarnya diberikan peluang untuk mencari rezeki atau tambahan sumber kewangan melalui perniagaan kecil untuk menampung kos sara hidup di bandar raya terutamanya di kawasan Cyberjaya.

“Ini berbeza dengan bandar raya seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Bangi dan beberapa lagi kawasan elit, PBT kawasan itu menyediakan kiosk serbaguna atau mengeluarkan permit sementara bagi memboleh peniaga kecil menjalankan perniagaan.

“Kerjasama ini sebenarnya memberi keuntungan bersama kedua pihak, di samping ekonomi di kawasan tersebut berkembang dengan aliran tunai yang dijana,” katanya.

Justeru, Putra Bahagian Sepang minta PBT kawasan itu mempertimbangkan permohonan peniaga terbabit atau sekurang-kurangnya mencontohi PBT lain yang memberi kerjasama kepada rakyat dalam keadaan ekonomi yang terdesak dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Kata beliau, pihaknya juga memohon disediakan ruang atau kiosk serbaguna untuk membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan.

“Kita berharap masalah yang dihadapi peniaga kecil ini dapat diselesaikan segera dan minta wakil rakyat kawasan turun padang melihat dan menyelesaikan permasalahan ini.

“Kawasan ini terletak dalam PDM Cyberjaya DUN Dengkil dan Yang Berhormat boleh berbincang secara serius dengan Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perbandaran Sepang bagi membolehkan permit sementara dikeluarkan,” ujarnya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *