PUTRAJAYA – “Saya menafikan terbabit dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang dilaporkan media semalam,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Menurutnya, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan di Indonesia.
Sehubungan itu, beliau sudah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman semalam berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang cuba mengaitkan dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi diri saya.”
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin. Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang negara,” katanya yang ditulis di Facebooknya.
Semalam, MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. – Harian Metro
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252