KUALA LUMPUR – AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) membeli aset pendidikan swasta pada harga RM31.4 juta di Glenmarie, Shah Alam, Selangor, yang dibuat melalui Pemegang Amanahnya, Pacific Trustees Berhad.
Pembelian ini merupakan langkah strategik untuk meningkatkan portfolio AmanahRaya REIT sebagai pelopor REIT dalam sektor pendidikan dengan menjana pendapatan berkualiti tinggi.
Pembelian itu termasuk pembaharuan perjanjian penyewaan sedia ada dengan Tinta Pendidikan Sdn. Bhd. (TPSB), mendapatkan sewaan 15 tahun atas asas sewaan bersih.
Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM) Yang Mulia Tunku Rozita Tunku Abdul Malek berkata, pihaknya teruja untuk menambah harta pendidikan swasta itu ke dalam portfolio syarikat.
“Lokasi strategik dan sewaan jangka panjangnya dengan TPSB sejajar dengan strategi kami untuk mendapatkan pendapatan yang stabil dan berulang bagi pemegang unit kami.
“Ini adalah pemerolehan pertama kami dalam enam tahun sejak 2018. Kami yakin pelaburan ini akan mengukuhkan pendapatan dan memberi kesan positif kepada prestasi kewangan dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pembelian itu akan dibiayai melalui pembiayaan bank sedia ada AmanahRaya REIT dan dana yang dijana secara dalaman, dijangka selesai pada suku pertama 2025.
“Pengurus memberi jaminan urus niaga itu tidak akan menjejaskan jumlah unit dalam terbitan atau pegangan pemegang unit yang besar daripada Amanah, dengan harga belian dibayar sepenuhnya secara tunai.
“Setelah siap, hartanah itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan AmanahRaya REIT dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.
Pemerolehan itu mewakili kemajuan ketara dalam strategi jangka panjang AmanahRaya REIT untuk membina portfolio mampan yang menawarkan pendapatan yang stabil dan peluang pertumbuhan untuk pemegang unitnya,” katanya.
Beliau berkata, pengaturan itu dijangka memberikan AmanahRaya REIT aliran pendapatan yang stabil dan berkembang, dengan nilai pulangan bersih 6 peratus disokong oleh semakan sewa dua angka yang telah dipersetujui setiap tiga tahun.
Menurut Tunku Rozita, lokasi utama hartanah di kawasan komersial dan industri ringan yang berdaya saing di Glenmarie, dengan jaringan lebuh raya utama dan berdekatan dengan Stesen LRT Glenmarie, meningkatkan lagi nilainya dalam portfolio Amanah.
Hartanah pegangan bebas itu kini diduduki oleh TPSB, penyedia pendidikan swasta yang dihormati menawarkan pendidikan prasekolah, rendah dan menengah. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252