BERITA UTAMA
Israel, Hizbullah berbalas serangan peluru berpandu, Gaza turut diserang

Israel, Hizbullah berbalas serangan peluru berpandu, Gaza turut diserang

BAITULMAQDIS – Hizbullah melancarkan ratusan roket dan dron ke arah Israel awal pagi semalam manakala penduduk Palestin memindahkan pesakit dari Hospital Syahid Al-Aqsa di timur Deir el-Balah, Gaza, susulan arahan tentera Israel.

Serangan terbaharu Israel sejak awal pagi Ahad membunuh 28 penduduk Palestin di seluruh Semenanjung Gaza, tidak termasuk mangsa yang masih di bawah runtuhan.

Tentera Israel meningkatkan serangan dahsyat ke atas Deir el-Balah pada hujung minggu, dengan pihak berkuasa berkata 40,405 rakyat Palestin kini terbunuh di seluruh Gaza.

Serangan Hizbullah pula dilakukan ketika tentera Israel mendakwa ia melakukan serangan awal terhadap Lubnan menggunakan kira-kira 100 jet untuk mencegah serangan balas yang lebih besar.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, siren dibunyikan di Rishon Letsiyon, petang semalam dan sebuah peluru dikenal pasti melintasi dari selatan Semenanjung Gaza dan jatuh di kawasan lapang.

Sementara itu, sayap bersenjata Hamas berkata, ia melancarkan roket ‘M90’ ke Tel Aviv, Israel.

Sekurang-kurangnya tiga kematian disahkan di Lubnan dan satu di Israel, bagaimanapun kedua-dua pihak menyatakan mereka gembira untuk mengelak peningkatan serangan selanjutnya buat masa ini, tetapi memberi amaran kemungkinan lebih banyak serangan akan datang.

Pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah berkata, serangan itu adalah sebagai tindak balas atas pembunuhan komander kanan, Fuad Shukr, bulan lalu.

Kematian Fuad dalam serangan udara diikuti dengan pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Hizbullah menangguhkan tindakan balasnya untuk memberi masa terhadap rundingan gencatan senjata dan menentukur serangannya untuk mengelak daripada tercetusnya perang besar-besaran.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, mengarahkan kehadiran dua kapal penyerang induk di Asia Barat, bagi memperkukuh kehadiran tenteranya.

Terdahulu, Jeneral AS, CQ Brown, tiba di Israel untuk berbincang dengan pemimpin tentera.

Sumber keselamatan di Lubnan berkata sekurang-kurangnya 40 serangan Israel disasarkan ke pelbagai pelbagai bandar di selatan negara itu dalam salah satu pengeboman paling hebat sejak permusuhan bermula pada Oktober tahun lalu.

Penerbangan menuju dan dari lapangan terbang Ben Gurion di Tel Aviv digantung selama kira-kira 90 minit.

Beberapa penerbangan memuju dan dari Beirut juga dihentikan, menyebabkan penumpang terkandas.

Di utara Israel, siren amaran berbunyi dan letupan kedengaran di beberapa kawasan ketika sistem pertahanan udara Israel, Kubah Besi, menembak jatuh roket yang datang dari selatan Lubnan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan serangan antara Israel dan Hizbullah dan menggesa kedua-dua pihak menghentikan permusuhan.

Mesir dan Jordan juga memberi amaran terhadap peningkatan serangan.- REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *