KUALA LUMPUR – Akibat tekanan melampau sehingga menjejaskan kesihatan mental, bintang terkenal Hollywood, Angelina Jolie mendedahkan pernah terfikir untuk mendapatkan khidmat pembunuh upahan supaya dapat menamatkan riwayat hidupnya ketika berusia 22 tahun.
Aktres berusia 49 tahun itu dilapor berkata, dia terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan mental sehingga mendorongnya melakukan perkara tidak sepatutnya, namun bersyukur kerana akhirnya tidak bertindak di luar kawalan.
BH.Com melaporkan, dalam satu sesi temu bual, Jolie mendedahkan, dia merasakan seolah berada di tempat sangat gelap berikutan masalah kesihatan mental dialami sehingga merasakan perlu menamatkan hidupnya.
Bagaimanapun, bintang filem Maleficent itu berkata, dia tidak mahu keluarga dan rakan baiknya rasa bersalah kerana tidak berada di sisinya.
Jolie menjelaskan, dia sudah membuat keputusan mengupah seseorang untuk membunuhnya dan ia akan kelihatan seperti mati dalam rompakan, bukan bunuh diri.
“Mungkin kedengaran gila, tetapi ada satu ketika saya hampir upah seseorang untuk membunuh saya.
“Ahli keluarga mungkin berfikir mereka tidak cukup menjaga saya sekiranya saya bunuh diri. Jadi, lebih baik saya tamatkan nyawa dengan cara dibunuh.
“Jadi, penyelesaian saya adalah jika orang lain mengambil nyawa saya seperti dalam rompakan, mungkin ia akan menjadi pembunuhan dan tidak mungkin sesiapa akan berasa mereka mengecewakan saya,” kata Jolie pada sesi temu bual itu.
Jolie mendedahkan, dia mempunyai perancangan untuk menyembunyikan apa yang berlaku, di mana akan mengeluarkan wang tunai dalam jangka masa tertentu, jadi tidak ada bahagian besar dalam akaun bank miliknya.
Dalam pada itu, Bintang Tomb Raider itu berkata, lelaki yang diupahnya itu memberinya peluang untuk memikirkan mengenai keputusannya sebelum meneruskannya.
“Dia seorang lelaki yang baik. Dia minta saya berfikir dulu dan datang berjumpanya semula selepas dua bulan.
“Selepas itu, ada sesuatu yang mengubahkan pemikiran saya,” jelas Jolie.
Terdahulu, Jolie dalam proses perceraian dengan suaminya yang juga aktor Hollywood, Brad Pitt selepas hubungan dalam keadaan tidak baik sejak 2016. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252